Prosiding kes Rosmah dan Najib disambung Mei dan Jun


PERBICARAAN
kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor membabitkan pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion dijangka kembali ke mahkamah pada Jun dan Julai.

Ia susulan perbicaraan yang dijadual bersambung di Mahkamah Tinggi minggu lalu telah dilapangkan berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mahkamah telah menetapkan 9 hingga 11 Jun, 6 hingga 9 Julai, 13 hingga 16 Julai dan 20 hingga 23 Julai untuk menyambung perbicaraan,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib seperti dilapor Bernama.

Bagi perbicaraan kes jenayah, tertuduh wajib hadir ke mahkamah untuk mengikuti prosiding.

Rosmah, 68, isteri kepada Najib Razak berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2016 hingga 7 September 2017.

Sementara itu, perbicaraan ke atas Najib yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan kepada 13 Mei.

Ahmad Akram berkata, perbicaraan itu sepatutnya berlangsung pada 29 April di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Post a comment

0 Comments