Pulau Pinang benarkan kembali urusan akad nikah.


PULAU PINANG
membenarkan semula urusan akad nikah umat Islam di negeri itu yang sebelum ini ditangguhkan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Zulkifli Long berkata, kebenaran itu berkuatkuasa hari ini setelah ditangguhkan susulan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"JHEAIPP akan membenarkan akad nikah bermula esok dan untuk permulaan ia (akad nikah) untuk bakal pengantin yang dokumen serta borang mereka telah siap dan diluluskan sebelum PKP.

"Majlis akad nikah hanya akan dibuat di pejabat agama daerah sahaja, namun jika bakal pengantin dalam keadaan tidak sihat seperti demam mereka tidak dibenarkan untuk melangsungkan perkahwinan kerana kami menjaga kemaslahatan semua pihak yang terbabit dalam urusan majlis akad nikah," katanya dipetik laporan Bernama.

Menurutnya, orang ramai yang membuat permohonan kebenaran akad nikah secara dalam talian menerusi laman sesawang JHEAIPP sepanjang tempoh PKP perlu mencetak semua borang yang diisi menerusi dalam talian untuk dikemukakan kepada pejabat agama di setiap daerah bagi tindakan selanjutnya.

Zulkifli berkata, mereka yang hadir di pejabat agama perlu mematuhi SOP iaitu memakai topeng muka, sanitasi tangan sebelum berurusan di kaunter.

Selain itu, SOP seperti menjaga jarak sosial serta jumlah pengunjung dihadkan pada satu-satu masa turut dikuatkuasakan.

Post a comment

0 Comments