Pulau Pinang lulus bantuan RM76 juta kepada rakyat


KERAJAAN negeri Pulau Pinang meluluskan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 bernilai RM76 juta semalam.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pakej rangsangan ekonomi itu memfokuskan bantuan segera kepada golongan yang paling terkesan terhadap impak penularan koronavirus (Covid-19) selain mengupayakan golongan pekerja dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti.

Pakej itu juga bagi membantu kelangsungan perniagaan di negeri itu yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 menjadikan jumlah keseluruhan pakej bantuan insentif kerajaan negeri setakat ini sebanyak RM151 juta yang telah dan bakal dimanfaatkan,"katanya pada sidang akhbardi pejabatnya semalam.

Kon Yeow berkata, antara terkandung dalam pakej itu ialah rebat cukai taksiran melibatkan hampir 600,000 unit hartanah dan penjimatan lebih RM47.3 juta kepada pembayar cukai.

Penjaja dalam premis dan penjaja bergerak turut menerima manfaat dengan diberikan bantuan tunai sebanyak RM500. Ia dijangka melibatkan 8,769 orang dengan kos yang ditanggung kerajaan negeri ialah sebanyak RM4.38 juta.

"Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga bakal memperuntukkan RM5 juta antaranya bantuan khas kepada guru agama dan guru tahfiz serta golongan memerlukan.

"Bantuan kali ini turut akan disalurkan kepada nelayan dan penternak tradisional dengan memberikan bantuan tunai RM400 kepada 5,841 nelayan pesisir pantai (Zon A), dan bantuan kotak insulasi bernilai RM180 setiap satu kepada 250 nelayan darat dan sungai,"katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, bantuan turut disalurkan kepada taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Kerajaan negeri juga bakal memperuntukkan RM10.37 juta  bagi pemberdayaan sektor pelancongan negeri Pulau Pinang yang turut terkesan dengan penularan wabak koronavirus.

Katanya, sebagai tambahan kepada bantuan tunai kepada pemandu pelancong dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0, kerajaan negeri akan memberikan bantuan tunai RM500 kepada 321 pemandu bas,van persiaran, kereta sewa, limosin pelancongan.

Bantuan RM300 pula turut diberikan kepada 23 pengusaha lancang air (watercraft operator) dan aktiviti pantai di Batu Feringgi.

Post a comment

0 Comments