Saifuddin bimbang pembalakan akan jadi punca banjir


SETIAUSAHA
Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bimbang dengan pengumuman menteri Besar Kedah daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi Md Nor untuk mempertimbangkan bagi membuka semula konsesi balak.

Kata Saifuddin, sekiranya aktiviti pembalakan itu dibenarkan semula, ia akan menyebabkan bukit-bukit di negeri itu menjadi botak, wujudnya kuari dan menyebabkan risiko berlakunya banjir.

“Di kawasan saya ada Hutan Simpan Gunung Bongsu. Diwarta sebagai Hutan Simpan oleh British lagi.

“Pada tahun 2008-2013, masa tu Menteri Besar sekarang jadi setpol (setiausaha politik), Kerajaan Kedah telah membatalkan pewartaan sebahagian kawasan hutan simpan ini dan dibenarkan membalak.

“Pembalakan juga berlaku di Gunung Inas.

“Hasilnya? Masalah banjir yang tak berkesudahan. Sungai jadi cetek tak mampu tampung aliran air ketika hujan lebat. Kehidupan harian penduduk terjejas,” kata Saifuddin di laman Facebooknya. 

Risiko Banjir


Tambah Saifuddin, beberapa kawasan di negeri itu merupakan kawasan terdedah untuk berlaku banjir.

Sehubungan itu beliau berharap  Muhammad Sanusi  yang belum sampai dua minggu memegang jawatan Menteri Besar itu agar tidak meneruskan rancangan tersebut.

Beberapa portal termasuk Harian Metro sebelum ini melaporkan, Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata Kedah pertimbang buka kembali konsesi balak.

Melalui video berdurasi 1:19 saat yang dimuat naik ke laman Youtube, Sanusi berkata  ia bagi mengelakkan kerajaan negeri daripada membayar tuntutan hampir RM1 bilion yang dikemukakan oleh 40 buah syarikat pembalakan sebelum ini.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Mukhriz Mahathir mempersoalkan angka disebut Sanusi dan menegaskan jumlahnya tidaklah sebegitu besar.

Mukhriz mempersoalkan kenyataan Sanusi
“(Dari) mana mai (datang) tuntutan sampai RM1 bilion tu pula? Zaman PH (Pakatan Harapan) tak sampai 2 minggu lepas pun tak ada tuntutan daripada pemilik konsesi sebanyak itu.

“Saya dah pesan dalam ucapan ketika melepaskan jawatan sebagai MB untuk tidak membuka balik kawasan balak Kedah. Belum panas kerusi MB tu dah buka balik?”, katanya.

Sebagai rekod, Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mentadbir negeri itu sebelum ini menghalang semua aktiviti pembalakang di Kedah.

Hutan rizab kekal Ulu Muda


Pada 1 Julai tahun lepas, Parlimen diberitahu bahawa Kedah mewartakan 106,418 hektar Hutan Ulu Muda sebagai rizab hutan kekal.

Kedah memiliki 300,000 hektar kebanyakannya hutan dara dan lebih separuh daripadanya membentuk kawasan hutan Ulu Muda.

Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bergantung pada Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air untuk  4.2 juta orang penduduk.

Selama bertahun-tahun negeri itu membenarkan penebangan antara 3,000 hingga 12,000 hektar setahun untuk tujuan pembalakan.

Pada 2011, dilaporkan bahawa kerajaan pimpinan PAS ketika itu meluluskan penebangan 12,909 hektar hutan dengan jumlah hasil daripada premium balak sebanyak RM74.92 juta pada tahun itu sahaja.

Post a comment

0 Comments