Sidang Dewan DUN Melaka huru hara


SIDANG
DUN Melaka hari ini kecoh susulan beberapa kontroversi termasuk penggantian Speaker.

Sidang itu yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi tadi mula hangat apabila bekas ketua menteri dari Barisan Nasional (BN), Idris Haron (Umno-Sungai Udang) bertikam lidah dengan Speaker Omar Jaafar dan beberapa Adun dari Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ketika persidangan baru hendak bermula, Idris bangun menghalang Omar yang ingin membaca doa bagi memulakan majlis.

Idris memberitahu bahawa Omar - yang dilantik kerajaan HARAPAN sebelum ini sebagai tidak lagi layak untuk menjadi speaker dan mahu usul undi tidak percaya ke atas beliau dan timbalannya Dr Wong Fort Pin dibahaskan.

Beberapa Adun HARAPAN turut difahamkan mendesak Idris supaya menghormati Omar sebagai speaker dan duduk.

" Bila speaker berdiri, semua tolong duduk!” kata Omar kepada Idris.

Difahamkan bahawa pertelingkahan tersebut berakhir setelah Idris melemparkan naskhah Peraturan Tetap DUN Melaka kepada Omar apabila beliau menangguhkan sidang sehingga ke tarikh lain yang akan dimaklumkan.

Dewan turut gamat apabila berlaku pertikaman lidah antara bekas wakil rakyat HARAPAN yang melompat parti Norhizam Hassan Bakte (Bebas-Pengkalan Batu) dengan Low Chee Leong (DAP-Kota Laksamana).

Melalui video pendek yang tular siang tadi, kedengaran beberapa perkataan kasar turut dilemparkan.

Low menggelar Norhizam sebagai "pengkhianat" dipercayai merujuk kepada tindakan bekas exco itu menjadi Adun bebas yang menyokong Umno sekali gus membawa kepada kejatuhan kerajaan HARAPAN Melaka.

Norhizam membalas dengan kata kejian berulang kali dikeluarkan, termasuk menggunakan ungkapan "babi" terhadap Low

"Babi! Babi! Babi! Babi!" kata Norhizam sambil menundingkan jarinya kepada Low.

"Kau pengkhianat!" balas Low pula.
 

Post a comment

0 Comments