S'wak bebas zon merah, pelajar pulang akan disaring


JAWATANKUASA
Pengurusan Bencana Sarawak mengumumkan tiada lagi kawasan di negeri itu diklasifikasikan sebagai zon merah wabak koronavirus (Covid-19).

Ia susulan Kuching yang sebelum ini merupakan zon merah kini diklasifikasikan zon kuning selepas daerah itu melaporkan kurang daripada 40 kes positif dalam 14 hari lalu.

Ketika ini, Sarawak mempunyai 33 zon hijau dan 7 zon kuning.

Bagaimanapun menurut jawatankuasa itu, semua pelajar yang pulang dari Semenanjung, Sabah dan Labuanakan tyerus disaring susulan wujudnya “kluster IPT” baru seperti dilaporkan sebelum ini.

“Mereka akan disaring dan diminta menjalani kuarantin di hotel sehingga keputusan mereka keluar,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas dalam taklimat semalam.

Sementara itu tambah Douglas, pelajar yang didapati negatif selepas disaring akan diberikan gelang kod QR dan dibenarkan pulang ke rumah dan menghabiskan baki tempoh kuarantin mereka di sana.”

Sebelum ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dr Sim Kui Hian mengumumkan kerajaan negeri mewartakan Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam yang akan berkuat kuasa sehingga 9 Jun ini untuk membendung kemungkinan berlaku gelombang kedua Covid-19.

Di bawah ordinan itu, katanya, ia menjadi satu kesalahan untuk mereka yang memakai gelang kod QR itu tidak duduk di rumah.

Setakat ini, difahamkan seramai 4,931 pelajar dari Semenanjung, Sabah dan Labuan, serta 1,451 yang melanjutkan pelajaran dalam negeri itu, sudah pulang ke kampung halaman masing-masing.
 

Post a comment

0 Comments