Tiga beradik dikhuatiri lemas selepas mandi sungai


KEGEMBIRAAN
tiga beradik bermandi-manda di Sungai Terengganu, Kampung Kuala Telemong bertukar tragedi selepas kesemua dikhuatiri lemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, ketiga-tiga remaja berkenaan, Khalif Naim Mohd, 16, Khairil Firdaus, 17 dan Umar Iskandar, 21, mandi di lokasi berkenaan sebelum dipercayai dihanyutkan arus.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, menurut maklumat awal daripada empat saksi, mereka ada melihat ketiga-tiga mangsa sedang mandi di kawasan itu sebelum mendengar suara meminta tolong.

"Keempat-empat saksi yang ketika itu sedang memancing di tebing sungai Kampung Mesah iaitu terletak di seberang sungai kejadian memaklumkan ada ternampak mangsa mandi.

"Tidak lama kemudian, pemancing tersebut mendengar jeritan suara meminta tolong daripada salah seorang mangsa yang berada di sungai ini, kumpulan pemancing telah menaiki motosikal dan terus ke lokasi ini.

"Dalam 10 minit mereka sampai, didapati ketiga-tiga mangsa telah hilang," ujar Mohd Adli.

Susulan itu seramai 41 anggota melibatkan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) digerakkan bagi operasi pencarian.

Difahamkan setakat malam tadi, anggota terbabit telah melakukan pencarian di permukaan serta di sekitar tebing sungai.

Menurut Mohd Adli hasil pengecaman oleh bapa mangsa telah mengesahkan beberapa barang yang ditemui termasuk pakaian, selipar dan telefon, adalah milik anaknya.

Post a comment

0 Comments