Tukar k'jaan: apa saja boleh berlaku


SPEKULASI
terkini berhubung isu peralihan kerajaan yang mula tersebar dalam media sosial sejak malam tadi mendapat perhatian ramai.

PENGARAH Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Fahmi Fadzil ketika mengulas spekulasi itu seakan-akan membenarkan perkembangan terkini itu apabila berkata "Pohon tidak bergoyang jika tiada angin.".

"Kita juga tidak dapat mendedahkan jumlah angka sebenar sokongan ahli Parlimen diterima Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika ini.

"Apa sahaja boleh berlaku ketika ini. Cuma pada masa sama, satu keseimbangan perlu diwujudkan kerana sebarang tindakan politik tidak bermakna perang terhadap pandemik koronavirus (Covid-19) selesai. Harap semua pihak boleh bersabar," katanya dipetik laporan Sinar.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, spekulasi itu mungkin berasas tetapi persoalan bila kerajaan bakal diambil alih adalah terpulang kepada pucuk pimpinan HARAPAN.

Blogger terkenal, Raja Petra Kamarudin menerusi ciapan Twitternya sebelum ini memberitahu beliau mendapat maklumat bahawa HARAPAN sudah mempunyai sokongan 129 ahli Parlimen bersamanya.

Terdapat juga desas desus bahawa HARAPAN sedang menunggu masa sesuai untuk hadir ke istana menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memaklumkan sokongan tersebut. 


Beberapa blogger pro Umno turut memberi perhatian dan membuat ulasan yang menggesa agar peralihan kerajaan itu tidak dilakukan.

Beberapa penganalisis politik tempatan melihat senario terkini itu membuktikan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebenarnya sangat rapuh dan tidak stabil.

Terdahulu, keasbahan kerajaan PN yang diketuai Muhyiddin Yasin dan beberapa bekas pemimpin HARAPAN yang berpaling tadah sebelum ini turut belum diuji dalam Dewan Rakyat.
 

Post a comment

0 Comments