Tun M anggap sidang tanpa bahas langgar syarat


SIDANG
parlimen selama sehari yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mei ini didakwa melanggar syarat persidangan Dewan Rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata begitu susulan persidangan itu tidak membenarkan perbahasan dilakukan.

“Sepatutnya persidangan itu dibahas dan selepas dibahas seperti biasa kita akan mengundi. Tetapi ini kita tidak boleh bahas, kita tidak boleh undi.

“Jadi ini bukan menepati syarat-syarat persidangan dewan rakyat. Ini juga tidak menepati peraturan-peraturan yang dilakukan Muhyiddin Yassin.

“Mesyuarat ini untuk kita cuma dengar ucapan kerajaan melalui Yang di-Pertuan Agong. Ini bukan mesyuarat parlimen,” jelas Pengerusi Bersatu itu menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya pada Rabu.

Terdahulu, sidang itu yang akan diadakan pada 18 Mei ini hanya akan mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa melibatkan sebarang urusan lain.

Perkembangan itu dimaklumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof yang berkata, pemakluman itu diterima daripada Muhyiddin selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi berkata, terpulang kepada pakar-pakar undang-undang menyatakan sama ada sesi parlimen itu benar-benar mengikut peraturan yang betul atau tidak.

Sementara itu, Dr Mahathir juga berkata, beliau berpandangan, bahawa pemilihan kerajaan pada ketika ini tidak sama sekali menepati undang-undang.

“Saya anggap bahawa pemilihan kerajaan ini tidak menepati undang-undang, itu terpulanglah kepada pakar pakar undang undang, menyatakan sama ada sidang satu hari ini betul betul sidang parlimen mengikut peraturan peraturan," katanya seperti dilapor Awani.
 

Post a comment

0 Comments