Tun M 'dipecat' dari parti sendiri


PENGERUSI  Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dipecat dari parti yang ditubuhkanya untuk melawan Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Turut dipecat adalah Timbalan Presidennya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir, Bekas Menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan anggota Majlis Tertinggi Bersatu Amiruddin Hamzah turut dipecat.

Berdasarkan surat dikeluarkan parti itu, kelima-lima mereka "dihentikan keahlian serta merta" atas alasan duduk di blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Surat berkenaan ditandatangani oleh setiausaha kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.
                                                                       
Menurut surat berkenaan, keputusan dibuat berdasarkan artikel 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu yang menyatakan status individu  sebagai anggota akan dihentikan serta-merta sekiranya didapati menyatakan hasrat mereka untuk meninggalkan parti atau secara rasmi bergabung dengan parti politik lain.

Menjawab pertanyaan media, seorang pembantu kepada Mahathir berkata bekas perdana menteri itu meninggalkan pejabatnya di Putrajaya dan belum melihat salinan surat berkenaan.
Salinan surat oleh Bersatu


Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini, seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata Mahathir dan empat yang lain tidak dipecat, sebaliknya keahlian mereka 'terhenti serta merta' apabila menyertai blok pembangkang.

"Apabila mana-mana ahli parlimen Bersatu memilih untuk menyertai kelompok yang bukan bersama parti sendiri dalam parlimen, maka secara automatik keahlian mereka gugur.  Ia bukan satu perkara mengejutkan.

Bagaimanapun Rafique Rashid Ali, yang merupakan penasihat undang-undang kepada beberapa pemimpin Bersatu,  berkata Wan Saiful tidak faham perlembagaan parti, mahupun undang-undang dan hak keperlembagaan Ahli Parlimen.

“Sejak bila Bersatu dan PN merupakan gabungan? Sejak bila ‘Principled Five’ meninggalkan parti atau menyertai parti lain? ”soal beliau.

Bersatu berpecah selepas 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan presiden partinya, Muhyiddin Yassin mengetuai majoriti pemimpinnya membentuk Perikatan Nasiona (PN).

Ia membawa permusuhan antara Mahathir dan Muhyiddin.

Khabar angin mengenai rancangan menyingkirkan Mahathir dan penyokongnya berlangsung sejak awal bulan ini dengan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu - yang kemudian ditangguhkan - dipercayai akan menyokong keputusan itu.

Mahathir sebelum ini membawakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin ke Dewan Rakyat.

Post a comment

0 Comments