Usul tak percaya mungkin tak dibahaskan


USUL
undi tidak percaya yang dikemukakan Dr Mahathir Mohamad terhadap Muhyiddin Yassin mungkin tidak akan dibahas berdasarkan peraturan dan konvensyen Parlimen.

Portal FMT dalam laporannya berkata, kemungkinan itu berasaskan Perintah Tetap Dewan Rakyat yang menjelaskan urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain, termasuk rang undang-undang dan usul ahli persendirian.

“Urusan Kerajaan hendaklah diaturkan mengikut sebagaimana yang baik pada timbangan kerajaan dan diberitahu kepada setiausaha,” menurut Perintah Tetap 15(2).

Menurut laporan itu lagi yang memetetik dua peguam yang biasa dengan prosiding Parlimen berkata situasi itu akan berlaku dalam persidangan selama 1 hari pada 18 Mei.

Peguam N Surendran, bekas ahli Parlimen dari PKR berkata usul undi tidak percaya mungkin akan muncul di aturan mesyuarat, tetapi mungkin diketepikan dan tidak dibahaskan sama sekali.

Sementara, Peguam Andrew Khoo bersetuju ada sedikit atau tidak ada kemungkinan usul itu dibahaskan.

“Kerajaan akan berusaha menegaskan hanya urusan kerajaan yang akan diutamakan dan Dewan Rakyat hanya bersidang selama 1 hari.

“Tetapi Dewan dipengerusikan oleh speaker dan dia pasti mempunyai budi bicara dalam menjalankan prosiding. Keputusannya akan menentukan prosesnya, selama dia mematuhi perintah tetap,” kata Pengerusi jawatankuasa undang-undang perlembagaan Majlis Peguam kepada portal berkenaan.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi,Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meminta undi tidak percaya terhadap  Muhyiddin Yassin.

Mohamad Ariff Md Yusof berkata usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat pada 18 Mei nanti.

Post a comment

0 Comments