Vaksin dibangunkan China mungkin siap hujung tahun ini.


VAKSIN
bagi koronavirus (Covid-19) dibangunkan China dijangka dapat disiapkan pada seawal hujung tahun ini.

Namun ia bergantung sekiranya proses penyediaannya di negara itu berjalan dengan lancar, menurut pakar perubatan dari China.

Doktor, penyelidik pacsa kedoktoran Universiti Sun Yat-sen di China, Sun Jiufeng yang dipetik laporan Bernama berkata, republik itu sedang membangunkan dua vaksin berbeza yang kini peringkat percubaan klinikal, dan dijangka siap pada bulan Mei atau Jun nanti.

“Ketika ini seluruh dunia sedang berusaha keras untuk menghasilkan vaksin berkenaan, dan jika semuanya berjalan lancar, mungkin kita akan dapat lihat vaksin itu siap digunakan menjelang hujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Bagaimanapun bagi penggunaan sebenar vaksin ini, memandangkan permintaannya amat tinggi, kita boleh katakan bahawa vaksin itu pastinya boleh digunakan oleh pesakit, tahun depan,” katanya menerusi penterjemah dalam satu temu ramah eksklusif  di pejabat kedutaan China semalam.

Menurutnya, sebaik sahaja keputusan fasa kedua disiapkan, mereka akan masuk ke fasa ketiga percubaan klinikal, yang mungkin akan mengambil masa yang lebih panjang untuk disiapkan dan ia bakal melibatkan sukarelawan.

Jiufeng berkata, pasukannya telah mengadakan perbincangan dengan pihak Malaysia, yang menunjukkan minat yang tinggi untuk turut serta dalam proses penyediaan vaksin itu di China, terutama dalam fasa ketiga percubaan klinikal.

“Sekiranya kita benar-benar bekerjasama dalam perkara ini, tidak syak lagi ia akan dapat mencepatkan penghasilan vaksin itu, dan turut membawa banyak manfaat kepada Malaysia dalam tempoh masa yang pantas,” tambahnya lagi.

Post a comment

0 Comments