Wanita pertikai hukuman anak Presiden Umno


SEORANG
wanita mempertikai keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 ke atas anak dan menantu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi semalam.

B Lisa Christina, ibu tunggal yang sebelum ini dipenjara atas kesalahan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) mempersoalkan kemungkinan wujud keputusan berat sebelah membabitkan Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan Saiful Nizam Mohd Yusoff dikenakan denda lebih rendah.

“Semasa saya dipenjara selama 8 hari, perasaan saya hancur berkecai kerana tidak dapat melihat anak dan berasa sangat malu. Saya juga terpaksa meminjam wang daripada emak sebanyak RM1,000 untuk membayar denda.

“Hari ini (Selasa), saya baca anak Zahid hanya diberikan denda RM800 atas kesalahan yang lebih besar dan tidak ada hukuman penjara dikenakan terhadapnya.

“Adakah saya rakyat kelas kedua di negara ini? Kenapa wujud tindakan berat sebelah? Saya perlukan penjelasan berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Difahamkan, Lisa sebelum ini dikenakan denda maksimum RM1,000 bagi menggantikan hukuman penjara 30 hari yang dikenakan kepadanya. Dia yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 6 tahun, dihantar ke penjara Kajang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Dia sebelum ini turut menuntut hukuman dikenakan terhadapnya disemak semula setelah mendakwa majistret sama telah menjatuhkan hukuman berbeza bagi kesalahan serupa dilakukan beberapa individu berbeza. 


Semalam, Nurul dan suaminya mengaku salah atas kesalahan melanggar PKP.

Isu ini timbul selepas Nurul memuat naik gambar mereka bersama Timbalan Menteri Alam Sekitar, Ahmas Masrizal Muhammad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Instagram pada 20 Apr.

Mereka dikritik kerana melanggar PKP, yang mula dilaksanakan pada 18 Mac bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Timbalan pendakwa raya Nur Ashikin Mokhtar pada perbicaraan semalam dilapor meminta mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat termasuk hukuman penjara terhadap pasangan itu.

 Tegasnya kesalahan  dilakukan individu itu berlaku ketika fasa ke-3 PKP telah dilaksanakan.

Post a comment

0 Comments