Wuhan mahu saring semula penduduk


PIHAK berkuasa Wuhan bercadang melaksanakan saringan semula koronavirus (Covid-19) ke atas seluruh penduduknya.

Memetik laporan media China, tindakan itu dirancang susulan ada kes baharu dilaporkan di wilayah itu buat kali pertama dalam tempoh seminggu.

Laporan itu menambah, saringan itu dilaksanakan di setiap daerah membabitkan 11 juta penduduk dalam tempoh 10 hari tanpa menyatakan bila ujian itu mula dilaksanakan.

Ahad dan Isnin lalu, bandar itu merekodkan enam kes baharu Covid-19.

Sementara itu, AFP dalam laporanya pula berkata,  Russia kini mempunyai kes jangkitan Covid-19 kedua tertinggi di dunia.

Berdasarkan statistik AFP, Russia yang kini mempunyai 232,243 kes jangkitan melepasi Britain dan Sepanyol, berada di tangga kedua selepas Amerika Syarikat (AS) dengan lebih 1.3 juta kes jangkitan.

Russia melaporkan purata peningkatan harian jangkitan virus melebihi 10,000 sejak lebih seminggu lalu dengan lebih separuh kes dilaporkan di Moscow serta kawasan sekitarnya.

Bagaimanapun, kadar kematian di Russia iaitu sekitar 2,116 kes adalah yang terendah berbanding negara lain dengan jumlah jangkitan yang sama.

Pihak berkuasa berpendapat, jumlah kematian rendah itu susulan tindakan Russia mengasingkan pengembara dan mereka yang berisiko, menyediakan hospital merawat pesakit COVID-19 serta kuarantin pesakit positif. 

Post a comment

0 Comments