2 Maut Myvi kemalangan di Marang


DUA lelaki dilapor maut setelah terlibat dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 31 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Penjara Marang, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Wan Mohammad Zawawi Wan Mohammad,40, dan Mohd Shahril Abdul Hamid,36, yang menaiki Perodua Myvi maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung sebuah Proton Saga.

Difahamkan, seorang warga emas dan kanak-kanak yang berada dalam Proton tersebut pula mengalami cedera parah.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Hanafi Din yang dipetik laporan Sinar berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai tragedi itu.

Pihak penyelamat jelasnya mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Saga.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kami dapati dua buah kenderaan terlibat kemalangan dengan terdapat seorang mangsa tersepit pada bahagian hadapan kereta Proton Saga.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan alat pemotong hidrolik dan ram bagi merenggangkan kereta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Abd Razak Hasan pula berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

Post a comment

0 Comments