Laporan: 3 saksi mengaku kosongkan ruang penerima di cek


PERBICARAAN kes pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam berkisar mengenai isu cek kepada akaun pelanggan, Tetuan Lewis & Co.

Empat saksi dipanggil memberi keterangan berhubung isu berkenaan dengan tiga daripadanya mengaku memberikan cek yang dikosongkan bahagian penerimanya kepada individu bernama “Omar Ali”.

Memetik laporan Malaysiakini, tiga saksi itu mendakwa menerima arahan dari individu bernama Omar Ali supaya mengosongkan bahagian penerima. Kesemua mereka bagaimanapun  mengakui tidak tahu siapakah Lewis & CO yang ditulis sebagai penerima cek berkenaan.

Menurut saksi ke-58, K Rajan Gunaretnam berkata dia mengosongkan bahagian penerima atas arahan Omar, namun tidak tahu siapa yang menulis Lewis & Co sebagai penerima apabila dirujuk dengan cek berkenaan di mahkamah.

K. Rajan ketika ditanya timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong dalam pemeriksaan utama memaklumkan dia memberikan cek atas namanya bernilai RM102,300 kepada Omar pada 28 Jun 2016.

Sementara itu, Khatijah Sulaiman@Suleiman, saksi ke-60 dalam kes itu mengakui meskipun mengakui tidak pernah berjumpa dan “tidak kenal” akan Omar Ali, beliau telah membuat pembayaran tiga keping cek kepada individu itu.

Katanya, syarikatnya mengalami “masalah” semasa projek membina jambatan ketiga Klang, dan dia dicadangkan bahawa Omar Ali dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

“Cek ini juga dikeluarkan atas arahan Omar Ali kerana kami mahu menggunakan wang tunai, dia akan menukarkan wang tunai dari kedai pengurup wang (money changer) beliau dengan cek syarikat Cergas Murni Sdn Bhd.

“Saya bersetuju dengan cadangan Omar Ali tersebut dan menyediakan cek berikut dengan dikosongkan di ruangan nama pembayar tersebut,” katanya sambil mendakwa cek-cek bernilai RM1,011,520 diserahkan kepada individu itu.

Pada Isnin, saksi ke-46 yang merupakan pegawai Maybank mengesahkan, ketiga-tiga cek Cergas Murni berkenaan - masing-masing bernilai RM447,773.42, RM 259,047.04, dan RM 304,699.54 - dimasukkan ke akaun pelanggan Lewis & Co antara Mac hingga April 2016.

Ketika ditanya Harris dalam pemeriksaan utama, Khatijah turut mengakui tidak tahu siapakah Lewis & CO, dan tidak tahu cek tersebut akan dibayar serta tujuan ia dibayar kepada syarikat berkenaan.

Saksi ke-61, Ong Weng Fatt yang merupakan pengarah Hwa Tong Bags Industries Sdn Bhd (HTBISB), mengaku memberikan dua cek kepada Omar Ali, satu menggunakan cek syarikat bernilai RM80,000, dan satu menggunakan cek peribadi bernilai RM170,000.

Bagaimanapun dia yang tidak mengenali Lewis & Co dan tidak mempunyai apa-apa hubungan perniagaan dengan syarikat itu melihat dengan mata sendiri Omar Ali menulis Lewis & Co pada ruang “bayar” cek peribadinya itu.

Berdasarkan keterangan saksi terdahulu, kedua-dua cek itu dimasukkan ke akaun Lewis & Co pada Jun dan Julai 2016.

Nama Omar Ali sebelum ini pernah muncul dalam perbicaraan pada 6 Mac, apabila saksi 42, turut mengaku sering menyerahkan cek kepada individu bernama “Omar” yang dikosongkan ruang “bayar” (penerima).

Dituduh terlibat aktiviti haram


Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah RM65 juta menerusi peguam dari Messrs Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Berdasarkan pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, dengan cara mengarahkan Omar Ali Abdullah mengubah bagi pihaknya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20 kepada 30 keping cek yang kemudiannya telah diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co.

Ia didakwa dilakukan untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank, yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram.

Menurut laporan portal sama, saksi terakhir semalam, saksi ke-62, Mubarak Hussain Akhtar Husin, memberitahu mahkamah bahawa dia diarahkan secara langsung oleh Ahmad Zahid untuk menulis ruangan “bayar” di cek kepada Lewis & Co.

Pemilik Syarikat Seri Jaya Perkasa Sdn Bhd itu memberitahu, cek peribadi berjumlah RM2 juta itu buat sekolah tahfiz milik Ahmad Zahid di Melaka bagi menampung kos-kos bulanan sekolah tersebut, pada 2016.


Berdasarkan pernyataan bertulisnya, syarikatnya mempunyai kontrak imigresen dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menjalankan penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin.

Namun  Mubarak menegaskan bahawa sumbangan RM2 juta itu adalah ikhlas dan tidak diminta oleh Ahmad Zahid, dan tidak ada kena mengena dengan sebarang projek dengan KDN.

Post a comment

0 Comments