40 pesakit pulih, kini hanya 208 sedang dirawat


JUMLAH kes aktif koronavirus (Covid-19) dengan kebolehjangkitan kini semakin menurun dengan hanya 208 kes dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 40 pesakit yang diasingkan sebelum ini telah pulih hari ini.

Ini menjadikan jumlah pesakit yang telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,271 kes atau 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan hanya empat kes baru positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes di Malaysia adalah sebanyak 8,600 kes.

“Daripada empat kes baru yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua warganegara Malaysia.

“Satu kes penularan di dalam negara juga merupakan warganegara Malaysia, iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor," katanya sambil menambah bahawa tiada penularan dalam negara di kalangan bukan warganegara dikesan.

Sementara itu Dr Noor Hisham turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," jelasnya.

Post a comment

0 Comments