ADUN S'gor bidas 'propaganda terancang' laskar PN


SEORANG wakil rakyat negeri Selangor mengecam dakwaan kononnya beliau akan meninggalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menyokong Perikatan Nasional (PN).

Rozana Zainal Abidin (Permatang) melalui satu kenyataan menegaskan bahawa khabar angin itu yang ditularkan sejak dua hari lalu merupakan "propaganda terancang" laskar siber  PN yang tertekan dengan perkembangan terkini politik di peringkat persekutuan.

"Saya dengan tegas menolak fitnah yang tidak berasas ini dan ingin menjelaskan bahawa sebaran tersebut adalah tidak benar sama sekali.

"Sebaran fitnah murahan ini tidak akan sedikit pun menjejaskan usaha dan komitmen HARAPAN untuk mengembalikan mandat rakyat dan menyelamatkan negara dari bencana politik PN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rozana dalam kenyataannya juga menyatakan sokongan penuh terhadap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini tular di media sosial kononnya 32 Adun Selangor akan menyokong PN untuk membentuk majoriti mudah dan menjatuhkan HARAPAN di negeri berkenaan.

Spekulasi ini dikaitkan dengan usaha PN untuk meraih sokongan menjelang sidang parlimen Julai ini.

Minggu lalu seorang pemimpin wanita KEADILAN di negeri itu, Daroyah Alwi bertindak keluar parti.

Namun tindakan itu dilihat sebagai tidak mengejutkan kerana beliau diketahui merupakan seorang penyokong setia Mohammed Azmin Ali.

Post a comment

0 Comments