Alex Zanardi kritikal lepas kemalangan


BEKAS pelumba Formula Satu (F1) Alex Zanardi, dilapor berada dalam keadaan kritikal selepas terbabit kemalangan ketika mengambil bahagian dalam saingan basikal tangan di Itali semalam.

Agensi berita AFP melaporkan, kemalangan berlaku ketika Zanardi mengambil bahagian dalam perlumbaan 'Obiettivo tricolore' di Tuscany.

Zanardi dilapor hilang kawalan ketika di selekoh dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah trak.

Jurulatih pasukan Parabasikal Itali, Mario Valentini memberitahu akhbar Corriere Della Sera bahawa kesan pelanggaran itu sangat teruk.

Susulan itu, pelumba berusia 53 tahun tersebut diterbangkan menaiki helikopter ke hospital berdekatan Siena sebelum pasukan perubatan menjalankan pembedahan kecemasan.

"Disebabkan kecederaan serius di bahagian kepala pembedahan di bahagian tertentu dijalankan selepas jam 7 malam dan berakhir sebelum 10 malam.

"Selepas itu dia dipindahkan ke unit rawatan rapi. Keadaannya sangat serius," jelas hospital berkenaan dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod,  Zanari adalah bekas pelumba Grand Prix yang dua kali menjuarai Kejohanan CART di Amerika Syarikat sebelum kedua-dua kakinya dipotong akibat kemalangan di Litar Lausitzring track di Jerman pada 2001.

Selepas insiden tahun 2001 itu, bekas pelumba pasukan Lotus dan Wulliams dalam saingan F1 itu bangkit semula dan muncul juara Paralimpik dalam sukan berbasikal.

Pada 2012 dan 2106, pelumba kelahiran Bologna itu memenangi empat emas dalam saingan basikal tangan di Sukan Paralimpik. Beliau turut meraih dua perak serta 10 kejuaraan dunia.

 

Post a comment

0 Comments