Anggota bomba maut terbabas ketika latihan


SEORANG
anggota Bomba dari unit 'Rapid Intervention Motorcycle' (RIM) Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, maut dalam satu sesi latihan pagi tadi.

Dalam nahas jam 10 pagi tadi di Kilometer 203.6 Utara-Selatan itu, Baharudin Sapuan, 44, terbunuh selepas motosikal kuasa tinggi ditunggangnya terbabas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Kawasaki Versys bersama enam anggota unit berkenaan dari Kuala Lumpur menuju ke Kluang, Johor.

"Mangsa dan enam penunggang motosikal unit berkenaan dalam sesi latihan ujian kemahiran menunggang.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum terseret dan tercampak ke tepi lebuh raya," katanya Arshad.

Difahamkan susulan kejadian itu, Baharudin menggelungsur ke penghadang lebuh raya sejauh kira-kira 30 meter, manakala motosikal ditungganya itu menggelungsur kira-kira 100 meter.

Motosikal berkenaan dilengkapi peralatan pemadaman, penyelamat dan perubatan, iaitu 'moto fire', 'moto rescue' serta 'moto medic.'

Rakan sepasukan cuba membantu memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang parah di kepala tetapi meninggal dunia di tempat kejadian.

"Keadaan cuaca dilaporkan baik dan kejadian itu tidak membabitkan kenderaan lain. Jenazah arwah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat," katanya,

Sebagai rekod,anggota RIM bertindak sebagai anggota bertindak atau 'responder' pertama bagi mempercepatkan masa bertindak ke lokasi kecemasan, terutama di kawasan berkepadatan tinggi.
 

Post a comment

0 Comments