Anwar ada sokongan, tiada boleh nafi - Sumber


PARTI
Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyatakan pendirian menyokong pengukuhan Pakatan Harapan (HARAPAN), terutamanya dalam langkah berkaitan “peralihan kuasa”.

Pendirian itu dinyatakan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), namun tidak menjelaskan lanjut tentang langkah “peralihan kuasa”.

“MPP turut menyatakan pendirian parti untuk terus mengukuhkan HARAPAN, dan terutama di dalam langkah-langkah berkait peralihan kuasa.

"KEADILAN akan terus bersama Pakatan Harapan,” kata pengarah komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil dalam kenyataan.

Kenyataan itu timbul  ketika spekulasi sebelum ini yang mengatakan Gabungan itu mempunyai bilangan yang cukup untuk mencabar keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin Yasin.

Berdasarkan susunan kerusi pada persidangan Dewan Rakyat 18 Mei lalu, kerajaan PN diterajui Muhyiddin mempunyai majoriti tipis, iaitu dua kerusi berbanding HARAPAN.

Sementara itu, Beberapa pemimpin parti itu yang menghadiri mesyuarat hari ini dipetik Malaysiakini berkata, mereka memutuskan untuk menyerahkan kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim merundingkan syarat dengan sekutu gabungan itu bagi membincangkan soal calon perdana menteri.

Anwar sebelum ini dilihat sering beralah kepada Dr Mahathir Mohammad apabila mengambil pendekatan berkompromi dalam isu tersebut walaupun ada peluang untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Sebagai contoh, semasa mesyuarat majlis presiden HARAPAN pada akhir Februari Anwar bersetuju untuk memberikan ruang kepada Mahathir bagi menetapkan sendiri garis masa peralihan kuasa.

Anwar yang sebelumnya dinamakan sebagai calon perdana menteri HARAPAN sekali lagi bertindak menyerahkan kedudukan itu kepada Dr Mahathir sebagai usaha menyelesaikan kemelut kuasa pada Mac lalu.

Bagaimanapun, portal itu yang memetik seorang sumber parti itu yang enggan dinamakan berkata situasi terkini "tidak ada pihak yang dapat menafikan" Anwar mendapat sokongan, namun, katanya, isunya adalah menerjemahkan sokongan itu "dari kertas menjadi realiti".

Post a comment

0 Comments