Anwar berseloroh, berat jadi TPM bawah Mahathir


MENGALAS tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai kesukaran yang besar.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata begitu secara berseloroh ketika mengulas permintaan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mahu dirinya sekali lagi menjadi TPM.

“Cadangan kedua ini, tentu saya terpaksa beri pertimbangan. Kawan-kawan (yang beri cadangan) ini yang menyokong saya, bukan menentang.

“Mereka berkata, sementara Tun jadi Perdana Menteri, saya mesti wajib terima jawatan Timbalan Perdana Menteri. Saya hadapi kesukaran yang maha besar untuk menanggung itu.

“Saya bergurau dengan kawan-kawan saya dan berkata, nak suruh saya derita berapa lama lagi. Sudahlah,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya semalam.

Pemangku Perdana Menteri


Sebagai rekod, Anwar pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dari 1 Disember 1993-2 September 1998.

Sepanjang bersama kerajaan ketika itu, Anwar pernah dilantik Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan(1983); Menteri Pertanian (1984) sebelum dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1986

Pada 1991, Anwar telah dilantik sebagai Menteri Kewangan. Semasa menjawat jawatan itu, kesan ekonomi Malaysia meningkat mendadak. Beliau dinamakan sebagai empat menteri kewangan teratas oleh Euromoney.

Pada tahun 1996 Asiamoney menamakan Anwar sebagai Menteri Kewangan Terbaik.

Pada 1997, beliau pernah dilantik sebagai Pemangku Perdana Menteri selama dua bulan apabila Dr. Mahathir mempunyai urusan di luar negara.

Sementara itu, ketika mengulas perkembangan politik semasa, Pengerusi HARAPAN itu menegaskan tidak timbul soal khianat antara rakan-rakan dalam gabungan tersebut selepas beberapa siri kenyataan berhubung isu calon Perdana Menteri.

Jelasnya, perbezaan pendapat itu bukan isu yang besar oleh kerana mereka masih meneruskan usaha mendapatkan sokongan dan mengembalikan mandat rakyat.

“Soal khianat antara kita tidak timbul. Dakwaan mereka lupa jasa, tak pernah,” katanya lagi.

Pemimpin HARAPAN pula tegasnya secara sebulat suara telah mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri dan tiada pertikaian berlaku mengenai hal itu.

Post a comment

0 Comments