Anwar bidas tindak tanduk Muhyiddin


KETUA Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaan supaya Pentadbiran Muhyiddin membentangkan pakej rangsangan ekonomi.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi menangani impak Covid-19.

Tegas Anwar, inisiatif dan bantuan berbilion ringgit itu perlu diimbangi Parlimen bagi mengelakkan ketirisan yang boleh menafikan hak kumpulan sasar.

“Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Korea Selatan, termasuk jiran kita Singapura meluluskan pakej rangsangan melalui badan Parlimen atau Kongres.

“Apa yang menghalang perdana menteri daripada mengambil contoh dan teladan yang sama? Legasi jenis apakah yang perdana menteri dan kerajaan hari ini akan tinggalkan kepada generasi akan datang?” katanya dalam catatan di Facebook malam tadi.

Melalui kenyataan sama, Anwar yang juga Presiden KEADILAN  turut mengkritik Muhyiddin yang  belum mengotakan janji yang dibuatnya Mac lalu untuk ahli Kabinetnya mengisytiharkan harta masing-masing.

“Sehingga hari ini, ia masih belum dilaksanakan dan rakyat tertanya-tanya apakah kerajaan hari ini masih berdiri sebagai sebuah kerajaan yang punya tanggungjawab dan ketelusan?.

Anwar turut membidas sikap perdana menteri itu yang berdiam diri dalam isu rakaman audio yang tular sebelum ini.

Dalam rakaman audio yang didakwa dirakam semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Feb lalu Muhyiddin didakwa menawarkan pemimpin Umno jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Seperti yang didedahkan dalam satu audio yang tular baru-baru ini, Muhyiddin sememangnya berhasrat untuk membeli dukungan ahli-ahli Parlimen melalui ‘scheme of things’.

“Sehingga hari ini, beliau masih belum memberikan apa-apa respons terkait ini. Di dalam bahasa Inggeris, ini disebut sebagai ‘deafening silence’,” tegas Anwar.

Post a comment

0 Comments