Anwar calon terbaik HARAPAN - Nik Nazmi


SEORANG Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nik Nazmi Nik Ahmad menepis spekulasi bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) telah mencapai kata sepakat berhubung calon perdana menteri gabungan itu.

Mengulas gesaan sesetengah pihak agar isu calon tidak lagi dilengahkan, Nik Nazmi menegaskan adalah tidak adil untuk memaksa Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Dr Mahathir sebagai calon tersebut.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut menegaskan, Anwar sendiri adalah calon terbaik untuk menerajui negara ketika ini.

“Malaysia perlukan permulaan baru, kerajaan bersih yang fokus untuk ekonomi yang lebih adil dan saksama untuk semua rakyat. Calon terbaik adalah Anwar,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Anwar membuat permohonan maaf kerana isu tersebut yang sepatutnya diumumkan keputusannya kepada rakyat terpaksa ditangguhkan. Menurut Anwar, walaupun matlamat gabungan itu adalah untuk mengembalikan semula mandat rakyat, namun terdapat banyak isu berkaitan perlu dipertimbang terlebih dahulu.

BACA:
HARAPAN sudah ada calon PM ?

Enggan tergesa-gesa, Anwar menegaskan bahawa kepentingan rakyat perlu menjadi perhatian ketika ini.

Sementara itu, Seorang pemimpin DAP, Anthony Loke menggesa KEADILAN segera menyatakan pendirian terhadap cadangan dalam gabungan itu.

Bekas menteri Pengangkutan itu dalam satu wawancara bersama Malaysiakini telah mendedahkan isi mesyuarat pada minggu lalu berkenaan kombinasi pilihan bagi jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Kombinasi pertama melibatkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya, cadangan itu kemudian ditolak Warisan yang kemudian mengusulkan agar  menggandingkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dengan Anwar sebagai timbalannya.

Kombinasi kedua itu bakal menyaksikan Mahathir menjadi Perdana Menteri untuk tempoh enam bulan sebelum menyerahkannya kepada Anwar melalui perjanjian bertulis.

Kata Loke, dengan pilihan gandingan Mahathir - Anwar itu, mereka menyerahkan kepada Anwar untuk membuat keputusan sama ada menerimanya atau tidak.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk dari pertubuhan aktivis menolak pencalonan semula Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri untuk kali ke-3 “walaupun untuk tempoh 6 bulan”.

Kumpulan pro-Anwar Ibrahim yang menggelar diri mereka sebagai Otai Reformasi mempersoalkan apakah Mahathir tidak akan melakukan kesilapan serupa sekiranya diangkat menjadi perdana menteri sekali lagi.

"Mahathir buat sesuka hati bila menjawat perdana menteri, apa jaminan Mahathir tidak akan meletakkan jawatan secara mengejut sekiranya diberi peluang kedua?" soal Setiausaha organisasi itu, Abdul Razak Ismail.

Justeru kata pertubuhan itu, sekarang adalah masa paling sesuai untuk Mahathir menyerahkan teraju pentadbiran negara kepada Anwar.

BACA:
Calon PM- Masa untuk Tun M serah pada Anwar 

Sementara itu, Nik Nazmin mengingatkan, bahawa tindakan  Mahathir dalam isu peralihan kuasa ialah punca berlaku ketidaktentuan ketika HARAPAN menjadi kerajaan persekutuan.

Katanya, krisis politik yang berlaku pada Februari lalu sebahagiannya disebabkan tindakan Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri tanpa berbincang dengan rakan HARAPAN dan yakin ahli Parlimen Umno serta PAS menyokongnya.
 

Post a comment

0 Comments