Anwar gesa berhenti main politik tipu helah



PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya budaya politik tipu helah dihentikan.

Ketegasan itu disuarakan Anwar melalui satu hantaran di laman Facebooknya malam ini.

Mengulas lanjut, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu mengingatkan bahawa politik bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi tegasnya politik adalah bagaimana kuasa yang diamanahkan itu mahu diterjemahkan.
"Politik ini bukan sepak terajang politikus untuk sekadar mencari helah taktik untuk merebut kuasa. Politik adalah terkait dengan urus tadbir, persoalan rakyat.

"Apakah dasar yang dikemukakan? Apakah dasar ini mengekalkan corak pentadbiran usang, lapuk rasuah menindas seperti yang berlaku, sekarang atau pun dahulu?
 
"Untuk saya secara peribadi untuk dolak-dalik dan tolak ansur untuk kekalkan keadaan usang yang lama itu agak sukar. Malaysia sekarang ini dan rakyat mampu mendepani masalah ini. Mampu bawa perubahan yang benar," kata Anwar di  laman sosial rasminya.

Hantaran itu menyusul pengumuman mengejutkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menamakan pula Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebagai rekod, Warisan sendiri bukan sebuah parti dalam gabungan parti dalam HARAPAN.

Dalam satu video ditularkan, Mahathir dalam satu majlis dipercayai diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya memberitahu akar umbi Bersatu, bahawa dia akan berkempen untuk Shafie.

Mahathir memberi alasan bahawa Shafie adalah orang yang 'sebulu' dengannya iaitu pihak yang melawan kleptokrat.

Sebagai rekod, Anwar sendiri merupakan calon pilihan HARAPAN sebagai perdana menteri disamping Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri.

Namun dalam satu mesyuarat diadakan di Petaling Jaya baru-baru ini, Mahathir dilapor menuntut agar beliau sekali lagi disokong menjadi perdana menteri buat kali ke-3.

Kira-kira seminggu selepas mesyuarat tersebut, KEADILAN dan Anwar menolak pencalonan Mahathir.

BACA:
KEADILAN tegas, tolak Mahathir jadi calon PM

KEADILAN dalam satu kenyataan menegaskan bahawa mereka tetap berpegang kepada konsensus awal bahawa Anwar sebagai calon mewakili HARAPAN.

Beberapa pemimpin termasuk DAP kemudian turut mempersoalkan risiko yang bakal terjadi sekiranya Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri termasuk rundingan tawar-menawar dengan Muhyiddin Yassin.

BACA:
Jadi menteri mentor lebih relevan untuk Tun M

Susulan kemelut calon Perdana Menteri itu, beberapa ahli akademik termuka kemudian tampil menyuarakan padangan bahawa Anwar adalah individu yang betul untuk dilantik sebagai perdana menteri sekiranya gabungan itu memerintah semula.

Sementara itu Anwar dalam siaran tersebut turut menegaskan bahawa beliau sukar untuk kembali bekerjasama dan berkompromi untuk mengekalkan "yang lama dan usang".

Katanya, rakyat Malaysia mampu merealisasikan perubahan yang sebenarnya dan akan menolak permainan politik kotor.

"Politik dan penguasa bukan untk kayakan diri dan keluarga untuk teruskan nafsu serakah dan lemparkan dendam kesumat kepada orang.

"Tetapi untuk cari titik perdamaian dan merangkul kekuatan. Jadikan Malaysia ini negara yang indah untuk semua," katanya lagi.



Post a comment

0 Comments