Anwar jelaskan sebab HARAPAN perlu tumbangkan PN


PELBAGAI isu pentadbiran termasuk terjejasnya peranan semak dan imbang dalam kerajaan menjadi sebab mandat rakyat yang dicuri perlu dirampas semula dari Perikatan Nasional (PN) tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dalam satu temubual bersama Malaysiakini semalam dipetik berkata, HARAPAN tidak boleh menunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk mengambil semula pentadbiran negara.

"[… ] Tentulah, tiada harapan jika anda benarkan (kerajaan) terus (mentadbir) tanpa diawasi.

"Tiada semakan di Parlimen, media arus perdana tampak lebih tunduk sekarang dan ada gangguan terhadap masyarakat sivil, wartawan dan sebagainya.

"Jadi saya fikir kita tiada pilihan selain memastikan perubahan berlaku lebih cepat dan tidak menunggu sehingga pilihan raya," kata Anwar kepada portal itu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu sebelum ini antara yang Paling keras menggesa agar persidangan di Dewan Rakyat diadakan segera.

Persidangan itu tegasnya bagi membahaskan isu-isu penting terutama berkaitan wabak koronavirus, isu pekerja serta masalah berkaitan dana yang digunakan bagi beberapa siri pakej bantuan diumumkan PN sebelum ini. 

Namun PN menjadikan pendemik sebagai alasan untuk menangguhkan sidang Dewan Rakyat yang dijangka hanya akan diadakan pada Julai nanti. 

Sementara itu ketika mengulas jangkaan tentang situasi politik negara,  Anwar membayangkan PH tidak akan mencetuskan pilihan raya mengejut seperti yang cuba digembar gemburkan beberapa pemimpin Umno sebelum ini.

Namun beliau percaya gabungan longgar itu masih sedang berusaha mendapatkan majoriti yang selesa di Dewan Rakyat.

Sebelum ini tersebar satu rakaman audio tidak disahkan yang didakwa suara perdana menteri, Muhyiddin Yassin yang menjanjikan 'habuan' bagi menarik pemimpin Umno menyertai partinya.

Rakaman itu didakwa dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Februari.

Individu dalam rakaman itu menggalakkan pemimpin Bersatu untuk meyakinkan ahli Parlimen Umno untuk menyokong parti itu, sekali gus untuk menjadikannya parti pemerintah terbesar.

Dalam soal ini, Anwar berkata masalah tidak timbul jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa berwaspada dan giat melawan apa yang didakwanya sebagai percubaan membeli sokongan wakil rakyat.

Post a comment

0 Comments