Anwar mampu lebih hebat berbanding Tun M - Penganalisis


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan partinya kini disifatkan sebagai 'kingmaker’ menentukan perjalanan politik bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, apa juga keputusan dalam masa tersekat, parti pimpinan Anwar akan dilihat sebagai juara tanpa menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar dan KEADILAN tidak mengalami sebarang kerugian kerana boleh memberi tumpuan mengukuhkan dalaman parti serta melakukan persediaan untuk menghadapi PRU akan datang, jika ia diadakan lebih awal.

“KEADILAN masih boleh menjadi pembangkang yang berintegriti, menguatkan akar umbi, mendapat simpati rakyat kerana sudah hampir tiga kali dinafikan untuk jadi Perdana Menteri.

“Manakala yang tewas dalam keadaan ini ialah Mahathir yang tanpa mempunyai parti, tidak disokong oleh KEADILAN, rancangannya untuk menjadi perdana menteri kali ketiga akan gagal dan boleh menyebabkan karier politik Mahathir berakhir,” dipetik Malaysiakini.

Dr Awang dipercayai berkata begitu bagi mengulas perkembangan politik semasa, dimana Anwar dan partinya memutuskan untuk tidak lagi memberi peluang untuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Keputusan itu bagaimanapun membangkitkan perbezaan pandangan antara pemimpin dalam HARAPAN yang menyaksikan sekelompok penyokong menyerang sesama sendiri.

Tampil untuk meredakan suasana,  Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam satu artikelnya menyuarakan pandangan Anwar telah meletakkan asas yang kukuh dengan perjuangan yang jelas apa yang negara ini mahukan.

Sehubungan itu, Mujahid menyeru agar penyokong HARAPAN menumpukan perhatian untuk membina kembali asas penubuhan gabungan dengan semangat perubahan sejak tahun 1999 lagi.

“Kita melaluinya dengan pelbagai kesukaran termasuk Anwar dengan jiwa penuh besarnya menempuh pelbagai kesusahan dan keperitan,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu lagi.

Dalam pada itu, Awang Azman berkata, pilihan terbaik adalah agar Anwar mengetuai HARAPAN di tengah-tengah masalah yang dihadapi gabungan itu pada masa ini.

Anwar pada pandangannya mampu membawa momentum baru kepada gabungan itu berbanding kepimpinan Mahathir sebelum ini yang menyaksikan HARAPAN tumbang hanya selepas 22 bulan menjadi kerajaan Persekutuan.

Post a comment

0 Comments