Anwar nafi mahu komplot dengan 'pengkhianat"


DATUK
Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya a beliau sedang merancang kerjasama dengan "beberapa watak pengkhianat".

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata, isu tersebut sengaja dicipta bagi mmemburukkan imejnya.

"Saya ingin merujuk dan menjawab tohmahan segelintir kumpulan kononnya saya sedang merencana dengan beberapa watak pengkhianat.

"Ingin saya tegaskan ia ternyata helah kelompok yang kemaruk kuasa. Fitnah akan dijadikan dalih dan alasan mereka bertapak," katanya.

Semalam, DAP dan Amanah dalam satu kenyataan bersama berkata mereka menolak sebarang perjanjian, atau usaha membuat perjanjian, dengan mereka yang terlibat dalam 'Langkah Sheraton', yang menyaksikan tumbangnya kerajaan HARAPAN.

Sebelum itu, Anwar mengakui ada bertemu dengan Hamzah tetapi berkata hanya membincangkan hal semasa dan perkara berkaitan Kementerian Dalam Negeri, namun pertemuan itu dijadikan modal bagi menyerang Anwar.

Anwar juga pernah mengadakan pertemuan bersama Muhyiddin Yassin pada April lalu, pertemuan itu bagi membincangkan langkah menangani wabak Covid-19.

Sementara itu, Anwar juga mengulang kenyataannya sebelum ini bahawa beliau tidak membuat komplot di belakang seperti "sesetengah pihak lain".

Apa-apa komplot tidak pernah dibincangkan dalam KEADILAN atau HARAPAN serta tidak dibangkitkan ketika bertemu dengan Hamzah dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Maka saya membantah sekerasnya dakwaan tersebut," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments