Apakah Umno akan 'telan' Muhyiddin ?


ISYARAT bekas perdana menteri, Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti Umno kini bersedia menghadapi sebarang kemungkinan untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) menimbulkan pelbagai persoalan.

Ia mengenai bagaimana nasib Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpin Muhyiddin Yasin yang baru dibentuk kurang empat bulan lalu.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin melalui muatnaik di laman Facebooknya mempersoalkan kesediaan disuarakan pemimpin Umno itu dan bertanya apakan sememangnya parti tersebut yang tewas mengejut dalam PRU lalu ada perancangan untuk mencetuskan pilihan raya lebih awal.

A. Kadir Jasin
“Adakah UmnoBN sudah bersedia menjatuhkan kerajaan Melayu-Islam Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Mohd Yassin bagi memaksa PRU15 diadakan lebih awal?

“Atau adakah kedua-dua mereka hendak membayangkan dan meyakinkan penyokong bahawa mereka akan lepas kes jenayah di mahkamah?,” soal Kadir di Facebooknya hari ini.

Kesediaan Umno menghadapi PRU disuarakan Zahid dalam catatan di media sosialnya selepas mengadakan pertemuan dengan Najib baru-baru ini.

PN yang kini mentadbir negara melalui kerjasama longgar antara Bersatu, Umno, PAS dan beberapa parti pembangkang lain di peringkat nasional sebelum ini dilihat rapuh susulan sokongan yang didakwa diperoleh Muhyiddin sebagai perdana menteri masih tidak dibuktikan.

Bersatu sendiri diletakkan dalam posisi tidak selamat dan ada dakwaan bahawa terdapat usaha membawa parti itu menyertai semula Umno.

Seorang penganalisis politik vateran, Dr Ahmad Atory Hussain yang dipetik laporan akhbar Sinar mendakwa perbincangan mengenai isu tersebut sudah dibincangkan di peringkat lebih serius susulan timbul kebimbangan sekiranya Muhyiddin mentadbir negara sebagai pemimpin tanpa parti sekiranya bekas Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir menggerakkan usaha mengharamkan Bersatu.

Keratan akhbar Sinar
Keadaan itu diburukkan lagi dengan desas-desus mengatakan PN besar kemungkinan akan tumbang dan mandat rakyat pada PRU lalu bakal dikembalikan semula kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) yang kini diperingkat akhir perbincangan mengumpul sokongan ahli parlimen.

Sementara itu, A Kadir berkata, sekiranya PRU15 diadakan lebih awal, UMNO dan BN merupakan pihak yang paling kurang terjejas berbanding Muhyiddin sendiri yang menyelamatkan mereka. 

“Mereka kalah PRU14 tapi Muhyiddin pungut mereka dari pinggiran politik dan anugerahkan mereka jawatan menteri, menteri besar dan GLC.

"Muhyiddin memberi mereka kuasa eksekutif dan sekali gus mengiktiraf Muafakat Nasional Umno-Pas.

“Dengan kekuatan jawatan menteri, menteri besar dan GLC yang Muhyiddin berikan itu, Umno dan Pas kini mempunyai kekuatan menentukan kekal atau jatuh kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Post a comment

0 Comments