Balak: Melayu patut risau, kata Raja Kamarul Bahrin


SEORANG
pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Raja Kamarul Raja Bahrin Shah mempersoalkan pendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggap tidak menghiraukan isu pembalakan.
 
Pengerusi Biro Alam Sekitar parti AMANAH itu berkata, rakyat seharusnya merasa bimbang sekiranya hutan simpan digadai memandangkan jumlah tanah rezab orang Melayu ketika ini hanya tinggal 13 peratus.

Sambil memberi perhatian khusus di Kedah, Terengganu dan Kelantan, Raja Kamarul berkata, kebanyakkan di negeri itu mencari sumber rezeki dengan bekerja sebagai petani, pekebun dan nelayan yang memerlukan penjagaan alam sekitar secara baik dan rapi.

“Kalau kerajaan yang mendakwa dirinya kerajaan Melayu Islam tidak membela nasib Melayu Islam di tiga negeri termiskin di Malaysia, di manakah letaknya prioriti mereka?

“Hutan simpan negara sepatutnya dikekalkan di tahap 50 peratus kawasan tetapi kini telah jatuh ke tahap sekitar 40 peratus.

“Yang paling terkesan adalah golongan termiskin di kampung dan desa yang bercucuk tanam, serta golongan petani yang amat perlukan pembelaan.

“Ianya bukan melibatkan hanya isu hakisan dan berlaku banjir besar, tetapi juga tentang ancaman hidupan liar yang keluar dari habitat hutan asal selain turut mengancam keselamatan serta hasil cucuk tanam petani dan pekebun yang daif,” katanya dipetik.

Beliau sebelumnya merujuk sikap Menteri-Menteri PN yang dilihat membisu dalam soal cadangan embuka semula konsesi balak di Kedah dan  dakwaan pembatalan pewartaan hutan Simpan Belara Terengganu yang dipercayai telah dikeluarkan secara senyap-senyap.

Sehubungan itu, beliau engulangi pendiriannya  yang mahu Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man menyelesaikan semua permasalahan rakyat berpunca daripada pembalakan di negeri mereka dengan segera.

Post a comment

0 Comments