Balak: Yayasan Sabah saman Musa Aman


BEKAS
Ketua Menteri Sabah, Musa Aman kini berdepan saman dari Yayasan Sabah.

Pengarah yayasan itu, Jamalul Kiram Zakaria, berkata saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Jun secara atas talian.

Menurutnya, ia bagi mendapatkan semula sejumlah wang dipercayai milik yayasan itu yang didakwa "hilang" dalam perjanjian meragukan.

Sebagai pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Musa Aman didakwa gagal menjalankan tanggungjawabn fidusiari untuk memelihara kepentingan yayasan berkenaan sesuai dengan peranannya untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat negeri itu.

"Bagi pihak Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, kami berhasrat mahu menuntut kembali RM872 juta yang hilang disebabkan perjanjian aktiviti pembalakan yang meragukan.

"Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah mempunyai sebab kukuh untuk mempercayai Musa menggunakan jawatannya untuk mengarahkan anak-anak syarikat Yayasan Sabah, iaitu Rakyat Berjasa Sdn Bhd, bagi tujuan perniagaan balak," katanya dalam kenyataan.

Sebagai rekod, Yayasan Sabah merupakan pemegang konsesi balak terbesar di negeri itu sejak ia ditubuhkan pada 1966.

Difahamkan, Yayasan Sabah dalam tuntutan saman itu turut menamakan beberapa penerima dan transaksi yang melibatkan wang dalam beberapa akaun luar pesisir yang dituntut melalui proses perundangan.

Sebelum ini Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menghadapkan Musa Aman ke mahkamah atas 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Bagaimanapun pada 9 Jun lalu selepas HARAPAN ditumbangkan, rakyat dikejutkan dengan tindakan pihak pendakwaan yang memohon untuk menggugurkan semua pertuduhan dihadapi Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu. Musa kemudian dilepas dan dibebaskan dari semua pertuduhan.

Sementara itu Pemuda Warisan (Wira) menyokong penuh tindakan Jamalul Kiram memfailkan tuntutan berkenaan.

Ketuanya Mohammad Firdaus Diun mendakwa Musa gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk memelihara kepentingan Yayasan Sabah.

"Apabila gagal ia pasti menyebabkan negeri kehilangan punca kewangan yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan ekonomi dan pendidikan rakyat Sabah," katanya.

Post a comment

0 Comments