Bil elektrik: Jangan biar rakyat tanggung beban baru


RAKYAT perlu diselamatkan dari berdepan bebanan baru selepas mereka terkesan dengan penularan wabak Covid-19 lebih tiga bulan lalu.

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) berkata,  Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah kini perlu bertanggungjawab sepenuhnya bagi menangai isu kenaikan mendadak bil elektrik yang sedang hangat diperbincang rakyat.

Naib ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman berkata kerajaan hari ini dilihat bersikap sambil lewa dalam menangani masalah tersebut sehingga menyebabkan pengguna menerima kesan secara langsung sedangkan isu tersebut perlu penyelesaiaan segera.

"Saya ingin mencadangkan kepada menteri berkenaan untuk mula bertindak dengan memanggil semua pihak yang berkaitan duduk semeja mencari solusi yang tidak membebankan rakyat.

"Semakin lambat beliau bertindak, semakin terbebanlah rakyat," katanya sambil menggesa Shamsul meletakkan jawatan sekiranya sedar beliau tidak mampu menangai isu itu.

Kadar penggunaan elektrik dalam sektor kediaman sebelum ini meningkat antara 20 hingga 50 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Kekeliruan mula timbul apabila pengguna menerima bil yang luar biasa lebih tinggi daripada kebiasaan dan apabila jumlah bil untuk tiga bulan sepanjang PKP dibahagi purata sebulan yang dianggap sangat ketara tingginya berbanding bil bulanan yang biasa.

Susulan itu, Syed Badli berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu tampil memberikan penjelasan kepada umum berkaitan kaedah pengiraan prorata kerana rata-rata rungutan adalah bil yang diterima pada kadar yang tidak munasabah.

Isu kenaikan bil elektrik sebelum ini turut menarik perhatian Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), A’zlan Abu Bakar membuat gesaan agar TNB membatalkan bil elektrik pengguna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tiga bulan lalu.

Langkah itu wajar diambil sebagai satu penghargaan TNB kepada kesetiaan rakyat yang melanggan perkhidmatan itu sejak berpuluh tahun lamanya.

“Biarlah ia kali pertama atau sekali ini TNB memberikan penggunaan percuma sepanjang tempoh tiga bulan PKP ini untuk penggunaan kediaman rumah atau sumber elektrik 1 fasa.

“Percayalah, ramai pengguna yang terkesan teruk akibat PKP sehingga ada yang kehilangan sumber pendapatan," katanya.

Post a comment

0 Comments