Broga ditutup elak penularan Covid-19


KAWASAN
pendakian terkenal di Lembah Klang, Bukit Broga diarah tutup sepenuhnya berkuat kuasa Sabtu ini.

Keputusan itu dibuat pihak berkuasa sebagai usaha mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Keputusan penutupan sementara itu diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah selaras Seksyen 18, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Ia ditutup sehingga dimaklumkan kelak," kata Dr Noor Hisham dalam kenyataannya semalam.

Sebelum ini, tular beberapa keping gambar di Facebook keadaan Bukit Broga sesak dikunjungi pendaki

Sementara itu Dr Noor Hisham menyeru orang ramai tidak alpa dan mengambil mudah terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan normal baharu.

Walaupun pihaknya menyedari pematuhan SOP dalam kalangan individu, syarikat dan industri semakin menurun sebagaimana dipaparkan di media sosial.

"KKM berharap segala usaha kita selama ini untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 diteruskan oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat," katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat Yusri Zakariah mengesahkan penutupa itu.

Jelasnya mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Selango bersetuju menutup kawasan rekreasi berkenaan.

"Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor akan mengeluarkan arahan penutupan Bukit Broga mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7)2020.

"Agensi-agensi berkaitan juga diminta membuat hebahan dan pemantauan terhadap pematuhan SOP yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Post a comment

0 Comments