Buaya ziarah Pantai Irama


PIHAK  berkuasa mengesahkan kehadiran buaya di sekitar kawasan perkelahan Pantai Irama di Bachok, Kelantan.

Seorang kaki pancing menyedari kehadiran reptilia yang terkenal dengan jolokan sang bedal itu pada jam 10 pagi semalam

Berita kemunculan reptelia itu kemudiannya tular apabila rakaman video berdurasi 24 saat memaparkan kelibat haiwan itu dikongsi oleh pengguna laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, kehadiran haiwan itu yang diperkatakan orang ramai adalah benar dan pihak berkaitan telah mengambil langkah melakukan pemantauan di sekitar kawasan tersebut.

“Langkah awal yang telah kita ambil ketika ini ialah dengan melakukan rondaan dan pemantauan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Tambah  Samsulmuddin, pihaknya juga telah memberikan  nasihat kepada para pengunjung dan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan tersebut supaya tidak turun ke pantai buat sementara waktu.

Malah sekirannya orang ramai yang melihat kelibat buaya itu muncul semula pantai berkenaan turut digesa agar membuat laporan segera bagi memudahkan tindakan segera dilakukan.

Dalam perkembangan sama, Pegawai APM Daerah Bachok, Leftenan Mohd Faizal Mohamed turut berkata, pihak APM Daerah Bachok masih lagi menjalankan pemantauan di lokasi terbabit.

Post a comment

0 Comments