Cadangan "gelembung perjalanan' dengan Indonesia dipersoal


KEPUTUSAN pentadbiran Muhyiddin Yassin untuk membincangkan pelaksanaan "gelembung perjalanan" dengan negara jiran Indonesia dipersoal.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming yang bimbang ia akan menyebabkan penularan wabak Covid-19 di negara ini kembali meningkat.

"Gelembung perjalanan dengan Indonesia? Adakah mereka sudah melandaikan lekuk jangkitan mereka?" soal Ong dalam ciapan di Twitter miliknya.

Ong sebelumnya mengulang ciap kiriman di Twitter oleh Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein yang berkata Muhyiddin, presiden Indonesia Joko Widodo dan Sultan Brunei Hassanal Bolkiah telah mencapai kesepakatan untuk bekerjasama bagi "gelembung perjalanan" di Asean.

Petikan Tweeter Kian Ming
Istilah "gelembung perjalanan" atau "travel bubble" merujuk kepada persetujuan antara negara yang berjaya mengekang penularan Covid-19 untuk membuka semula sempadan bagi membolehkan perjalanan antara rentas negara.

Sebelum ini Muhyiddin dilapor berkata kerajaan negara Asean harus mewujudkan rencana yang padu untuk segera menerapkan langkah-langkah untuk "gelembung perjalanan" antara negara-negara anggota yang dalam status "hijau".

Bagaimanapun difahamkan, cadangan mengadakan gelembung perjalanan dengan Indonesia itu belum dimuktamadkan.

Untuk rekod, Indonesia terus mencatat jumlah kes Covid-19 yang tinggi, dengan 1,240 kes baru pada Jumaat. Sehingga 26 Jun sahaja jumlah jangkitan di Indonesia adalah 51,427 dan jumlah kematian adalah 2,683.

Sementara di Malaysia, setakat tengah semalam mencatatkan 8,616 kes dengan 121 kematian.

Post a comment

0 Comments