Cadangan Mahathir boleh huru-harakan HARAPAN


TINDAKAN Mahathir Mohammad menamakan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat sukar.

Penganalisis politik Wong Chin Huat melihat, sama ada cadangan itu dapat diterima tidak terletak kepada HARAPAN, namun terletak di tangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Sama ada Mahathir, Anwar atau Shafie, penentunya bukan mereka, tetapi blok terakhir yang boleh mengubah keadaan, kemungkinan besar GPS,” katanya dipetik laporan sebuah portal.

Bagaimanapun jelasnya, kemungkinan untuk GPS mengubah sokongan kepada PH Plus dilihat kecil, meskipun dengan Shafie sebagai calon perdana menteri.

“Persoalan sebenar adalah apa yang PH Plus boleh beri kepada GPS yang tidak boleh diberi Perikatan Nasional (PN)? Lebih banyak jawatan menteri? PH Sarawak tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri?

“Satu hal yang menyulitkan PH Plus adalah mereka tidak boleh tawarkan kedudukan timbalan perdana menteri kepada Sarawak kerana ia akan membuatkan Fadillah Yusof, anggota parlimen GPS paling kanan, lebih tinggi dari ketuanya (Ketua Menteri Sarawak) Abang Johari Openg,” kata Wong.

Penganalisis dari Sarawak  Prof Madya Dr Jeniri Amir pula dipetik laporan sama berkata GPS tidak mungkin akan bekerjasama dengan HARAPAN selagi DAP masih berada dalam gabungan tersebut.

Jeniri cuma melihat tindakan terbaru Mahathir tidak lebih sebagai propaganda.

“(Pencalonan Shafie) satu propaganda, percubaan dari (Mahathir) untuk tarik ahli politik dari Sabah dan Sarawak.

“Adakah anda fikir ahli politik di sini akan terkesan dengan sentimen seperti ini? Saya tidak rasa GPS akan mudah terpengaruh.

“Selagi DAP bersama dalam gabungan, saya tidak rasa GPS akan menyokong mereka (PH Plus),” kata Jeniri dipetik portal Malaysiakini.

Mahathir mengumumkan untuk melobi Shafie sebagai Perdana Menteri setelah HARAPAN bersama Warisan dan Bersatu Hitam ( Kumpulan yang bersama Mahathir) gagal mencapai kata sepakat berhubung siapa calon perdana menteri gabungan itu.

KEADILAN dalam satu kenyataan sebelum ini menegaskan bahawa mereka berpegang kepada konsensus awal bahawa calon tersebut adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menolak Mahathir sekali lagi dilantik Perdana Menteri untuk kali ketiga, bagaimanapun bersedia mempertimbangkan sekiranya Mahathir dilantik sebagai menteri mentor. Mahathir bagaimanapun menolak tawaran itu dengan alasan Perdana Menteri selepasnya enggan menerima nasihat diberikan.

“Keputusan PKR untuk bertegas hendakkan Anwar itu dan tidak berikan Mahathir memegang jawatan selama enam bulan adalah tepat kerana PKR juga belajar dari kesilapan dan kalau (Mahathir) diberi maa enam bulan, mungkin perkara sama akan berulang," kata Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Jayum Jawan Empaling.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Rusdi Omar ketika mengulas pengumuman itu berkata,  Mahathir seharusnya berbincang dahulu cadangan itu dalam mesyuarat bersama PH Plus sebelum membuat pengumuman.

Ini kerana tindakan tergesa-gesa Mahathir itu akhirnya boleh menyebabkan kesepakatan dalam HARAPAN ranap.

“Tun (Mahathir) tak boleh nak guna kuasa veto untuk buat keputusan….Jadi langkah Tun buat keputusan ikut cara dia bagi saya kurang bijak kerana ia mengeruhkan lagi hubungannya dengan PH,” katanya.

"Dengan pengumuman tersebut serta penangguhannya untuk peralihan kuasa semasa PH masih berkuasa, tampaknya bekas perdana menteri itu memang enggan Anwar menjadi perdana menteri," katanya lagi.

 

Post a comment

0 Comments