Cadangan Shafie jadi PM cuma 'permainan akal' Tun M


SEORANG penganalisis politik berpandangan, sukar untuk Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Shafie Apdal dilantik sebagai Perdana Menteri tanpa sokongan KEADILAN dan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Sembilan, Mujibu Abd Muis berkata begitu sebagai mengulas cadangan terbaru Tun Dr Mahathir Mohammad yang mengejutkan ramai.

Menurut Mujibu, cadangan Mahathir itu hanya boleh menjadi kenyataan jika digerakkan secara kolektif sebagai pakatan pembangkang dengan sokongan sepenuhnya daripada KEADILAN.

"Hendak lantik sesiapa pun jadi Perdana Menteri bukan persoalannya tetapi apakah pakatan itu mempunyai cukup bilangan kerusi di parlimen.

"Cadangan itu juga berisiko tersekat di tengah jalan jika ditolak dengan kuat oleh Anwar dan PKR atau Ahli Parlimen Sarawak termasuk dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya  dipetik laporan BH.

Amanah dan DAP

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa cadangan supaya Mohd Shafie menjadi calon Perdana Menteri bagi HARAPAN dan sekutunya dipersetujui sebulat suara dalam pertemuan tidak rasmi gabungan itu kelmarin.

Bagaimanapun, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, tampil dengan kenyataan yang menegaskan cadangan itu perlu dibawakan ke mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN untuk diputuskan secara bersama.

Sebagai rekod, HARAPAN terdiri dari KEADILAN, Amanah dan DAP dan dipengerusikan Anwar Ibrahim.

Anwar merupakan calon pilihan pertama dinamakan sebagai Perdana Menteri gabungan itu sekiranya HARAPAN berjaya mengambil alih semula kerajaan. Bagaimanapun kemudiannya Mahathir dilapor mahu sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

KEADILAN dan Anwar dalam kenyataan baru-baru ini menegaskan bahawa mereka menolak cadangan supaya Mahathir diangkat semula kejawatan itu untuk kali ketiga, dan berpandangan ahli politik vateran itu lebih sesuai dilantik sebagai menteri mentor.

Mahathir kemudiannya dalam satu kenyataan berkata akan hanya bekerjasama dengan Amanah dan DAP dan akan mencari jalan lain untuk dilantik ke jawatan tersebut.

Fantasi Politik

Semenyara itu,  Mujibu berkata, cadangan terbaru Mahathir ditolak oleh KEADILAN serta parti di Sarawak yang menggelarkan idea itu sebagai 'fantasi politik'.

"Barangkali, kedua-dua pihak sudah menghidu yang ini hanya sekadar 'permainan akal' Dr Mahathir," katanya.

Beliau berkata, cadangan dikemukakan Dr Mahathir itu berkemungkinan satu eksperimen hendak menarik sokongan dari Sabah dan Sarawak

"Dr Mahathir mungkin melihat sokongan AMANAH dan DAP serta bilangan kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang relatifnya kecil tidak akan mampu merampas kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN).

"Dengan ketiadaan KEADILAN, pembentukan kerajaan PH Plus nampaknya bergantung kepada kerusi dari Sabah dan Sarawak terutamanya WARISAN dan GPS dalam mengimbangi kerusi KEADILAN.
 

Post a comment

0 Comments