Calon PM: Masa untuk Tun M serah pada Anwar

 
LONTARAN
cadangan untuk mengangkat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad untuk sekali lagi menjadi Perdana Menteri dianggap sebagai mengecewakan.

Kumpulan pro-Anwar Ibrahim yang menggelar diri mereka sebagai Otai Reformasi berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) sewajarnya menolak pencalonan semula Mahathir sebagai perdana menteri “walaupun untuk tempoh 6 bulan”.

Setiausaha organisasi itu, Abdul Razak Ismail yang dipetik laporan FMT baru-baru ini turut menyifatkan Mahathir sebagai mempunyai peribadi “menjengkelkan”.

“Membantu Mahathir samalah macam ‘melepaskan anjing tersepit’ – akhirnya peha kamu dibahamnya balik.

“Mahathir tanpa sebarang rundingan dengan kepimpinan HARAPAN menghadap Agong untuk menyerahkan surat peletakan jawatan. Keesokan harinya semua menteri ‘terpelanting’ keluar dari Putrajaya.

"Itulah balasan Mahathir kepada pimpinan HARAPAN yang memilih beliau sebagai perdana menteri,” katanya dipetik.

Sejak beberapa minggu lalu, isu siapa calon perdana menteri HARAPAN menjadi hangat susulan terdapat spekulasi bahawa gabungan itu mahu mengambil kembali mandat rakyat yang dicuri melalui 'langkah Sheraton'

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik membuat kenyataan yang seoalah-olah cuba mengasak HARAPAN menerima Mahathir sebagai Perdana Menteri sekali lagi.

Minggu lalu, HARAPAN melalui gabungan baru dengan Warisan dan beberapa penyokong Mahathir dari Bersatu yang menamakan gabungan itu sebagai HARAPAN Plus mengadakan mesyuarat di Petaling Jaya.

Hasil mesyuarat yang dipercayai untuk memutuskan siapa perdana menteri gabungan itu dijangka diumumkan hari ini.

Sementara itu, Otai Reformasi turut mempersoalkan apakah Mahathir tidak akan melakukan kesilapan serupa sekiranya diangkat menjadi perdana menteri sekali lagi.

"Mahathir buat sesuka hati bila menjawat perdana menteri, apa jaminan Mahathir tidak akan meletakkan jawatan secara mengejut sekiranya diberi peluang kedua?" soalnya.

Tambah Razak , Mahathir perlu mengambil kesempatan berhubung isu calon perdana menteri untuk memperbetulkan kesilapan dengan menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Berilah nafas baru kepada yang lebih bertenaga,” tambahnya.

Post a comment

0 Comments