CIJ mahu saluran berita baru bersifat seimbang


PUSAT Jurnalisme Bebas (CIJ) memberi amaran agar saluran dilancarkan stesen penyiaran RTM bagi menangani "berita palsu" tidak digunakan untuk "menyebarkan propaganda kerajaan".

Dalam satu kenyataan CIJ berkata, walaupun mereka amat berharap inisiatif baru itu digunakan untuk memastikan penyebaran maklumat tepat kepada masyarakat dan mempromosikan inisiatif mencari fakta, pihaknya khuatir inisiatif itu akan menjadi "percubaan taktikal" untuk mengekang perbezaan pendapat.
 
"Kita telah melihat praktik global dalam rejim kerajaan yang dilihat menggunakan media negara untuk menapis kandungan yang dianggap tidak baik atau kritikal terhadapnya.

"Justeru, CIJ menggesa kerajaan PN untuk memastikan saluran itu agar tidak menjadi proksi untuk tujuan propaganda yang bertujuan untuk mempromosikan kerajaan dan memburukkan pihak yang bertentangan," jelas Pengarah eksekutif CIJ Wathshlah Naidu dalam satu kenyataan yang turut disiar Malaysiakini.

Kenyataan CIJ itu susulan muatnaik Jabatan Penerangan di laman Twitter yang menyenaraikan enam kategori maklumat yang diklasifikasikan sebagai berita palsu.

Di antaranya, ia menyenaraikan maklumat yang "menanamkan kebencian terhadap kerajaan pemerintah dan pemimpin" sebagai berita palsu yang dapat "mewujudkan ketidakpercayaan terhadap kerajaan pemerintah".

Selain itu, maklumat yang "menjatuhkan maruah dan imej, reputasi organisasi dan negara" turut disenaraikan sebagai berita palsu yang dapat "menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat"

Sementara itu, CIJ juga menggesa agar Inisiatif itu tidak menjadi satu-satunya medium yang memutuskan maklumat apa yang boleh dan tidak boleh diberikan kepada umum atau mendefiniskan "berita palsu".

Saluran itu juga tegas mereka perlu memfokuskan pada pendidikan dan penyebaran maklumat awam untuk membendung "berita palsu" melalui saluran idea dan maklumat yang cekap, seimbang dan dari pelbagai sumber selain daripada kerajaan, seperti pakar dan organisasi masyarakat sivil, untuk memudahkan perbahasan awam dan membolehkan pembentukan pendapat yang tepat. 

Post a comment

0 Comments