Covid-19: 2 kes baru,1 kematian dan 39 pulih


DUA
lagi kes Covid-19 baru dilaporkan hari ini dan kedua-duanya melibatkan individu bukan rakyat tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham dalam sidang medianya memberitahu, satu daripada kes baru itu adalah  kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala satu lagi adalah kes penularan tempatan melibatkan seorang warga asing.

Susulan perkembangan terbaharu itu,ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia setakat hari ini adalah 8,338 kes.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini juga, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan warganegara Malaysia.

“Satu kes penularan di dalam negara yang dicatatkan adalah merupakan seorang bukan warganegara di mana kes ini dilaporkan di Kuching, Sarawak iaitu kes saringan kepada kontak rapat kes 8303,” katanya.

Sementara itu,sejumlah 39 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,014 kes atau 84.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Kes aktif direkodkan setakat kini adalah 1,206 kes, sebanyak lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 118 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-118 (kes ke-824) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 15 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 10 Jun jam 7.03 pagi,” katanya.

Post a comment

0 Comments