Covid-19: Jumlah kes aktif kini dibawah 1000


SEBANYAK
lapan kes baru berkaitan koronavirus (Covid-19) direkodkan hari ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah

Menurutnya, lapan kes berkenaan membabitkan dua kes import dan enam kes penularan tempatan.

Enam kes penularan tempatan itu terdiri daripada dua warganegara dan empat warga asing.

"Kesemua keempat-empat kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warga negara adalah dari kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2," katanya pada sidang media harian Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Manakala dua kes terbaru melibatkan warganegara membabitkan satu kes saringan klinikal kes Influenza Like Illness (ILI) di Bintulu, Sarawak dan satu kes saringan pusat jagaan warga emas di Melaka Tengah

Sementara itu Noor Hisham berkata sebanyak 35 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,346 kes atau 86.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Beliau turut memaklumkan buat pertama kali sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 mencatat bawah angka 1,000 iaitu sebanyak 986 kes. Empat kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun terdapat satu kematian direkodkan membabitkan seorang warganegara India, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 kini sebanyak 121 kes.

Menurutnya, mangsa yang berumur 67 tahun merupakan tahanan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung serta penyakit buah pinggang.

Post a comment

0 Comments