Daroya digesa letak jawatan jika ada maruah


BEKAS
timbalan ketua wanita KEADILAN Selangor, Daroyah Alwi digesa segera mengosongkan kerusi disandangnya.

Penyataan itu dibuat pengerusi KEADILAN Selangor, Amirudin Shari susulan tindakan Daroyah mengumumkan meninggalkan parti dianggotainya itu semalam.

Melalui satu kenyataan, Amirudin menyifatkan tindakan Daroyah itu sebagai satu bentuk pengkhianatan yang jelas terhadap rakyat Selangor.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi yang telah mengumumkan keluar dari KEADILAN.

"Tindakan ini jelas satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat yang telah memberi mandat jelas kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mentadbir Negeri Selangor melalui Pilihanraya Umum Ke-14 yang lepas.

saya menggesa Dr Daroyah untuk segera meletak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa sekiranya masih bermaruah," katanya pada suatu kenyataan malam ini.

Daroyah yang dilihat setia kepada bekas Timbalan Presiden parti itu, Mohammed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin turut melepaskan jawatan timbalan speaker DUN Selangor semalam.

Tindakannya meninggalkan parti itu sememangnya sudah dijangka. Daroyah sebelum ini dikenakan surat tunjuk sebab.

Pada 4 Mac lalu, Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) mendesak Daroyah dan ketuanya, Haniza Mohd Talha supaya menyatakan pendirian secara jelas mengenai sokongan mereka terhadap presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Keputusan Daroyah sudah dijangka


Sementara itu, sejumlah pemimpin Wanita KEADILAN Selangor, termasuk kalangan mereka yang dilihat sebagai penyokong Azmin Ali, melalui kenyataan bersama berkata mereka akan terus setia dengan perjuangan parti itu.

Antara mereka yang dilihat sebagai penyokong Azmin yang menandatangani kenyataan itu ialah Timbalan Ketua Wanita Selangor Sangetha Jayakumar dan Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

Menurut kenyataan yang juga disertai 18 ketua Wanita cabang negeri itu, mereka tekad untuk terus mara sebagai satu sayap bagi mendepani semua isu wanita dan mengangkat martabatnya selaras dengan semangat yang sama sejak era reformasi.

"Kami ADUN Wanita KEADILAN Selangor dan Majlis Pimpinan Wanita negeri termasuk 18 Ketua Wanita Cabang di Selangor berikrar untuk terus kekal setia bersama KEADILAN. Pemimpin datang dan pergi namun matlamat tidak akan pernah goyang.

“Keputusan itu (tindakan Daroyah) sudah pun dijangka lebih awal dan kami bersiap sedia untuk meneruskan agenda reformasi seterusnya mempertahankan kerajaan Selangor," kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, seorang lagi ADUN wanita yang dikaitkan dengan Azmin,  Haniza Talha (Lembah Jaya) tidak disenaraikan dalam kenyataan tersebut.

Post a comment

0 Comments