Dua beranak maut, 4x4 rempuh traler


DUA
beranak orang asli maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler muatan sawit di Jalan Lipis-Merapoh semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Sidin Angah, 27, dan ibunya, Azmah Along, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mereka dan empat lagi yang berada dalam kenderaan itu dalam perjalanan dari Pos Balar, Gua Musang, Kelantan  menuju ke Gombak.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor yang dipetik laporan Sinar berkata, pemandu dan tiga lagi penumpang pacuan empat roda jenis Toyota Hilux itu dilaporkan cedera dengan salah seorang daripada mereka parah.

"Pemandu treler dan kelindannya masing-masing berusia 51 dan 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurut Azli lagi, siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai gagal mengelak dan melanggar bahagian belakang sebuah treler yang diparkir di bahu jalan kerana rosak.

"Akibat kemalangan tersebut, dua beranak terbabit mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Azli berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat, manakala empat mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.

Kemalangan ini kini jelasnya disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a comment

0 Comments