Dua lagi pemimpin PN dilantik ketuai GLC


DUA lagi pemimpin pro Perikatan Nasional (PN) dilantik mengetuai agensi kerajaan.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Kamarudin Md Noor dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkuat kuasa 16 Mei lalu.

Kada sebuah agensi kerajaan kini berada di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan berfungi memajukan dan menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial golongan petani di kawasan Kemubu, Kelantan.

Jawatan pengerusi Lembaga itu sebelum ini disandang bekas Exco negeri Kelantan, Husam Musa yang dilantik pada 1 Mac 2019 sewaktu Putrajaya dipimpin oleh Pakatan Harapan (HARAPAN).

Memetik laporan FMT, Kamarudin turut mengesahkan pelantikan tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang mewakili PAS dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berkuat kuasa 16 Mei lepas.

Ahmad Tarmizi, berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui agensi bertanggungjawab atas urusan penanaman padi itu.

Sebelum ini banyak pihak mengkritik tindakan pentadbiran Muhyiddin menganugerahkan jawatan kepada ahli politik untuk mengetuai agensi kerajaan.

Sebuah NGO, Projek Wawasan Rakyat (POWR) dalam satu kenyataan mendesak agar jawatan itu diberikan kepada individu non-partisan yang paling berkelayakan dan berwibawa.

Kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan yang memaklumkan bahawa kesemua ahli parlimen kerajaan akan dilantik mengetuai syarikat berkaitan kerajaan.

Ia turut dilihat sebagai satu usaha dilakukan bagi menarik sokong ahli politik untuk menyokong Muhyiddin Yassin sekaligus bertujuan mengukuhkan kerajaan PN.

Post a comment

0 Comments