Farid Kamil kena penjara 13 bulan


PELAKON dan pengarah Farid Kamil Zahari dijatuhi hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap Farid Kamil, 39, bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah, pelakon itu turut penjara empat bulan bagi pertuduhan mengeluarkan perkataan tidak sopan.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dan tertuduh turut diarahkan menjalani hukuman itu secara berasingan dengan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadapnya sebelum ini bagi kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol.

“Selepas meneliti dan menilai keterangan dikemukakan pihak pembelaan, mahkamah juga melihat secara keseluruhan dan membaca hujahan pendakwaan dan pembelaan.

“Oleh itu, mahkamah mendapati Farid Kamil bersalah dan dihukum penjara 13 bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan penjara empat bulan bagi Seksyen 90 Akta Polis dan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak,” kata Nor Ariffin.

Farid Kamil didakwa melakukan jenayah itu serta mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas, dua tahun lepas.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, Petaling Jaya pada 1.20 tengah hari, 11 Jan 2018.

Dia turut diarah membayar kos pendakwaan sebanyak RM5,000 atau menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar kos tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Farid Kamil menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara peguamnya memfailkan rayuan.

Ketika rayuan, Farid Kamil yang diwakili peguam Kee Wei Lon, merayu agar mahkamah mengenakan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik atau denda minimum atas alasan dia adalah penanggung utama keluarga yang menyara isteri, dua anak serta ibu bapanya.
 

Post a comment

0 Comments