Ganti pekerja asing : MTUC cadang gaji lebih 'menyelerakan'


KONGRES
Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan gaji kehidupan sebanyak RM2,700 bagi warga tempatan.

Free Malaysia Today memetik Setiausaha Agung MTUC J Solomon sebagai berkata, gaji itu antara langkah yang boleh diambil kerajaan dan majikan susulan langkah pembekuan pengambilan pekerja asing.

Tambah Solomon, kerajaan perlu berusaha ke arah pelaksanaan gaji tersebut berdasarkan sara hidup di kawasan pekerja terbabit, ia juga sebagai langkah tersebut dapat menggalakkan penyertaan lebih ramai warga tempatan kembali telibat sektor yang sebelum ini menggunakan ramai pekerja asing.

"Jika pekerja dibayar lebih baik, dan keadaan tempat kerja ditambah baik, tiada masalah untuk mendapatkan warga tempatan bagi kerja yang biasa dibuat oleh warga asing.

"Misalnya, bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, gaji bersih yang dibawa pulang sepatutnya tidak boleh kurang daripada RM2,000.

"Ribuan warga Malaysia dalam sektor kerja-kerja 3D (kotor, bahaya, sukar) di negara luar, seperti di Singapura, Australia dan Korea Selatan," katanya menurut laporan itu.

Terdahulu, Putrajaya mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja asing sebagai langkah meningkatkan peluang pekerjaan warga tempatan yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bagaimanapun menyuarakan kekhuatiran bahawa pembekuan secara menyeluruh boleh menyekat pengembangan beberapa industri.


Selain itu jelas Solomon, bagi menggalakkan warga tempatan terlibat kembali dalam sektor kerja 3D, pekerja  perlu diambil secara sepenuh masa dan bukannya menerusi kontrak jangka pendek.

Pekerja juga wajar mendapat faedah seperti caruman KWSP, perlindungan Perkeso, perubatan dan tempat tinggal.

Post a comment

0 Comments