HARAPAN gesa PN henti intimidasi politik terhadap pemimpin


GABUNGAN
parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) mengecam apa yang didakwa sebagai tindakan menggunakan pihak berkuasa bagi menakut-nakutkan ahli parlimen pembangkang.

Dalam satu kenyataan, Majlis Setiausaha HARAPAN berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya bersikap matang dan terbuka dalam menangani perbezaan politik.

Mereka turut mahu tindakan yang cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap pemimpin HARAPAN turut dihentikan.

"Majlis Setiausaha HARAPAN mengambil maklum siri tindakan di mana ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuk dari HARAPAN yang dipanggil pihak berkuasa untuk disoal siasat.

"Ada kalanya tindakan-tindakan ini bersekali laporan-laporan media yang menimbulkan persepsi tertentu terhadap individu-individu tersebut.

"Majlis Setiausaha HARAPAN berpandangan bahawa tindakan-tindakan ini adalah satu bentuk intimidasi terhadap musuh politik. Kami mengecam keras tindakan-tindakan intimidasi ini," kata kenyataan dikeluarkan siang tadi itu.

Kenyataan berkenaan ditandatangani Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution, Pengarah Komunikasi Parti Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Beberapa pemimpin HARAPAN sebelum ini dilapor telah dipanggil pihak berkuasa polis. Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh tidak terkecuali apabila bekas timbalan menteri itu bertanyakan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah timbalan menteri sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid memberitahu sebuah portal, Yeoh disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut telah dipanggil ke Bukit Aman, bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur hasutan dalam temu bual bersama sebuah stesen televisyen antarabangsa.

Ahli Parlimen Muar itu dalam temu bual bersama program Al Jazeera, UpFront pada 6 Mac lalu mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

Manakala Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Peter Anthony kini sedang disiasat kononya terlibat pengubahan wang haram melibatkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) antara 2012 dan 2013.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan dilakukan kerajaan sekarang memberi persepsi negatif terhadap politik dan demokrasi Malaysia di mata dunia.

"Demokrasi di Malaysia harus dipertahan dan diselamatkan dari piihak yang ingin merosakkan keadaan demi kepentingan peribadi dan kelompok politik mereka," kata kenyataan itu.

Post a comment

0 Comments