HARAPAN S'wak kukuhkan kerjasama antara parti gabungan


GABUNGAN
parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri Sarawak menyatakan pendirian bahawa kerjasama diantara parti gabungan itu akan terus diperkukuh.

Melalui satu kenyataan gabungan itu menegaskan isu calon Perdana Menteri tidak akan mempengaruhi pendirian itu dan ia sekadar isu berbeza pandangan yang boleh diselesaikan.

"Isu calon Perdana Menteri tidak akan mempengaruhi hubungan antara tiga pihak.

"Ini adalah masalah yang berbeza pendapat dan cara untuk mencapai tujuan akhir yang sama,"kata HARAPAN Sarawak.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen; Pengerusi KEADILAN Sarawak, Larry Sng Wei Shien; dan Pengerusi Amanah Sarawak, Abang Halil Abang Naili.

Kenyataan tegas HARAPAN Sarawak itu muncul ditengah pertelingkahan antara penyokong dalam gabungan itu susulan kenyataan tegas KEADILAN yang menolak pencalonan sekali lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk kali ke-3.

Sementara itu, HARAPAN Sarawak menegaskan keputusan untuk memperkukuh kerjasama antara gabungan itu penting buat masa depan HARAPAN terutama ketika Sarawak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

Ia juga menjadi salah satu perkara penting yang dibincangkan ketika pertemuan bersama pemimpin parti dalam gabungan itu malam tadi.

Turut disentuh mengenai persediaan PH Sarawak untuk berdepan Gabungan Parti Negeri Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

"Kami bersedia bekerja dengan mana-mana parti politik yang berwibawa yang mematuhi prinsip ketelusan, pemerintahan yang baik dan keadilan untuk semua.

"Kami tidak akan bekerjasama dengan partai oportunis atau "parti satu pilihan raya" kerana parti-parti tersebut cenderung untuk mengkhianati kepercayaan pengundi setelah memenangi beberapa kerusi," tegas mereka.


Post a comment

0 Comments