Jaguh superbike maut kemalangan


SEORANG
jaguh lumba motosikal Britain, Ben Godfrey meninggal dunia dalam kemalangan ketika menyertai perlumbaan di Donington Park pada Isnin.

Penunggang profesional berusia 25 tahun itu dilapor terjatuh daripada motosikalnya ketika mengambil bahagian dalam acara No Limits Track Days.

Kenyataan penganjur berkata: "Ketika sesi kumpulan kedua hari ini (semalam) di Donington Park, Ben Godfrey, 25, berlaga dengan penunggang lain ketika menuju ke Redgate dan terjatuh dari jenteranya.

"Dia mengalami kecederaan serius dan walaupun diberi bantuan segera pembantu perubatan, dia gagal diselamatkan tak lama selepas itu."

Pengarah No Limits Trackdays, Mark Neate yang dipetik laporan agensi berita berkata: "Saya sangat sedih selepas Ben mati akibat kecederaan dialaminya.

"Ben seorang penunggang muda yang fantastik dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja termasuk di 'paddock', dia mudah tersenyum dan sentiasa berusaha meluangkan masa untuk sesiapa sahaja.

"Dia sangat gembira pada permulaan musim ini dan menyertai banyak perlumbaan bulan lalu.

"Simpati kami untuk keluarga, rakan sepasukan dan rakan-rakan yang lain." katanya.

Godfrey dijangka mewakili Team BGR pada Piala Ducati TiOptions di Silverstone tahun ini.
 

Post a comment

0 Comments