Juruterbang sempat rehat lepas pesawat terhempas


SEBUAH
pesawat tempur BAE Hawk 109 milik Angkatan Tentera Udara Indonesia dilapor terhempas di Kampar, Riau pagi tadi.

Jurucakap pihak angkatan bersenjata negara itu, Fajar Adriyanto dipetik laporan media mengesahkan insiden tersebut.

Menurut Fajar, pesawat dengan nombor pengenalan TT-0209 itu terhempas di kawasan perkampungan penduduk sekitar lima kilometer dari Landasan Udara Roesmin Nurjadin di Pekanbaru.

Menurut laporan awal pesawat tersebut mulai kehilangan tenaga ketika mahu melakukan pendaratan.

"Kondisi pesawat baik. Riwayat pemeliharaan juga terjadwal. Kemudian ini adalah operasi rutin. Sudah terjadwal.

"Ketika akan kembali mendarat, terjadi permasalahan. Kemudian pesawat akan jatuh, pilot memutuskan untuk eject (melontarkan diri keluar kokpit)," ujar Fajar.

Pihak berkuasa republik itu difahamkan sedang membuat siasatan terperinci punca kejadian.

Walaupun pesawat tersebut musnah, laporan menyatakan juruterbang pesawat berkenaan selamat.

Juruterbang Apriyanto Ismail yang mengendalikan pesawat itu ketika kejadian telah dibawa ke Hospital Tentera Udara Dr Soekirman Lanud Rsn Pekanbaru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang penduduk memaklumkan rumah keluarganya rosak akibat ditimpa pesawat berkenaan.

Penduduk tersebut yang dinamakan sebagai Rony berkata, beliau merasa bersyukur kerana ketika kejadian keluarganya tiada di dalam rumah berkenaan.

"Rusak bagian dapur, kata petugas jangan ke lokasi dulu. Kelanjutannya akan dikabari mereka," jelasnya.

Seorang lagi penduduk sementara itu berkata juruterbang tersebut sempat berehat sebentar di sebuah rumah penduduk kampung sebelum pasukan penyelamat membawanya untuk rawatan.

Menurut penduduk itu lagi, beliau sempat memberikan minuman kepada juruterbang itu ketika diselamatkan penduduk kampung berkenaan.

"Tadi suami saya dan warga membawa pilot ke rumah saya. Warga ikut melepas ikatan parasut.

"Kasihan kali lihat pilotnya, dia istirahat di rumah saya 10 menit. Saya beri minum," kata Hotma sambil menjelaskan juruterbang tersebut hanya luka sedikit di bahagian mata.
 

Post a comment

0 Comments